ARTIKEL

Gambar Fail Dzulkefly.

Operasi Perkhidmatan Doktor Udara ditangguhkan sementara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan serta semakan terhadap aspek keselamatan dan operasi susulan tragedi nahas helikopter di Long Lellang, Baram, Selasa lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan petugas dan pesakit terus menjadi keutamaan, selain menjamin perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman tidak terjejas.

“Bagaimanapun, perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan diteruskan menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“KKM juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka penggunaan aset ATM untuk memindahkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan ke fasiliti kesihatan bersesuaian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, Dzulkefly memberitahu bahawa KKM turut melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap sistem penyampaian FDS di Sarawak, termasuk kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model perkhidmatan sedia ada.

Katanya, penilaian itu bagi memastikan pendekatan pada masa hadapan lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat pedalaman Sarawak.

“KKM juga sedang menilai semula lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS, termasuk alternatif pengangkutan dan pendekatan lain yang lebih selamat serta praktikal.

“Langkah ini bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui penangguhan sementara operasi FDS mungkin menimbulkan kesukaran kepada masyarakat pedalaman, namun keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan kementerian.

Nahas helikopter FDS di Long Lellang pada Selasa lalu mengorbankan lima individu, termasuk seorang juruterbang dan empat petugas KKM ketika menjalankan tugasan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.

“KKM akan terus memantau perkembangan keadaan dari semasa ke semasa dan memaklumkan maklumat terkini kepada orang awam,” ujarnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat