KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Tengah, Kampung Kolong di sini terpaksa ditangguhkan petang tadi berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap serta faktor keselamatan.
Komander Operasi PBK II (TBK I) Asmadi Mohamad Nawei berkata, mangsa, Fahrell Zaquan Hasbullah, 16 tahun, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di tebing sungai bersama seorang rakannya kira-kira jam 4 petang, hari ini.

“Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras sejurus terjatuh ke dalam air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, menurut maklumat awal, kejadian berlaku berhampiran Sekolah Kebangsaan Tan Sri Datuk Haji Mohamed.
Ketika insiden itu katanya, mangsa dilaporkan hanya memakai seluar panjang berwarna putih dan tidak berbaju.
“Susulan laporan kecemasan diterima pada jam 4.32 petang, pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya segera digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira jam 4.50 petang, iaitu 18 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan operasi yang diketuai menjalankan pencarian awal di sekitar tebing sungai bagi mengesan mangsa.
“Usaha tersebut turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di lokasi kejadian,” katanya.
Bagaimanapun tambah Asmadi, selepas perbincangan bersama pihak polis dan ahli keluarga mangsa, operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 6.43 petang.
Katanya, ia berikutan keadaan persekitaran yang semakin gelap serta berisiko kepada keselamatan anggota penyelamat.
“Operasi SAR dijadualkan disambung semula pada keesokan hari, sementara pihak berkuasa menasihatkan orang awam agar menjauhi kawasan sungai dan tidak mengganggu operasi pencarian bagi memastikan kelancaran usaha menyelamat,” katanya.

