SERIAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang hilang setelah keluar dari rumah Ahad lepas, ditangguhkan 5 petang tadi.
Komander Operasi PBK II KUP Dobbin Dindat berkata, operasi memasuki hari keempat tersebut ditangguhkan susulan keadaan cuaca mulai gelap dan tidak mengizinkan.

“Operasi SAR Jambung Ajui, 83, yang dilaporkan hilang setelah keluar rumah di Kampung Slabi Empurung, Serian ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung pada esok hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dobbin berkata, operasi SAR hari ini dimulakan pada 9 pagi dengan kumpulan 1 melakukan pencarian di hutan belakang rumah mangsa bersama Unit K9 (Daisy dan Bella) serta penduduk kampung.
Manakala, kumpulan dua menyusuri sungai bersama-sama pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA sekitar 10 kilometer (km) dari Pusat Kawalan Bomba.
“Kita juga melakukan pemantauan dari udara menggunakan dron pasukan Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Adun Bukit Semuja John Ilus juga berada di lokasi pagi tadi bagi meninjau operasi SAR yang dijalankan,” katanya.


