Operasi taska, tadika di zon merah membimbangkan

KUCHING: Pengoperasian tadika dan taska di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah amat membimbangkan, jelas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Katanya, kementeriannya mengambil maklum tentang pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkaitan Daerah Kuching dan Sibu kini dikategorikan sebagai zon merah.
“Sekiranya penularan Covid-19 semakin meningkat dan wujudnya zon merah, kementerian kami melihat perkembangan tersebut dalam keadaan yang membimbangkan,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Katanya, pengoperasian taska dan tadika akan dibentang dan dibincang dalam mesyuarat dengan JPBNS untuk dipertimbangkan.
“Justeru semua pihak pengurusan taska yang berada di zon merah perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” tegasnya. Terdahulu, JPBNS telah mengisytiharkan daerah Sibu dan Kuching sebagai zon merah setelah keduadua daerah ini mengalami peningkatan mendadak kes Covid-19.
Kedua-dua daerah ini telah bertukar dari status jingga kepada merah dengan sejumlah 44 kes jangkitan tempatan dilaporkan di daerah Sibu dan 41 kes di daerah Kuching dalam tempoh 14 hari lepas.
Semalam Miri pula diisytihar sebagai zon merah.