KUCHING: Seorang lelaki tempatan disyaki operator pengendali judi dalam talian dicekup dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Stutong Baru, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berumur 20 tahun itu ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Katanya, pasukan serbuan turut merampas satu komputer riba, satu router, satu modem dan empat telefon bimbit serta peralatan lain.
“Siasatan awal mendapati bahawa pusat tersebut telah beroperasi sejak bulan Ogos 2023 dengan cara mempromosikan perjudian dalam talian melalui panggilan telefon, aplikasi Whatsapp, Wechat, Telegram dan juga laman Facebook.
“Berdasarkan rekod dan transaksi, sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan lebih kurang RM2,000 sehari dan boleh mencecah RM60,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahsmon berkata, suspek kini ditahan reman sehingga 15 Januari ini dan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Katanya, kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun dan selain itu hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.



