KUCHING: Sebanyak 1,584 kenderaan diperiksa dengan sejumlah 235 notis ketidakpatuhan jalan raya dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa Ops Pengarah di Batu 15, Jalan Kuching-Serian, malam tadi.
Menurut hantaran Facebook JPJ, operasi yang bermula jam 7 malam dan berakhir jam 12 tengah malam itu melibatkan 66 pegawai dan anggota JPJ Sarawak diketuai Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Noraini Mohd Nawi.
“Antara kesalahan itu adalah pemasangan dan penggunaan lampu lampu ‘high intensity discharge’ (HID), tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
“Seterusnya, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta kesalahan teknikal lain seperti memasang aksesori yang menyebabkan bahaya,” kata hantaran itu.
Sementara itu, empat kenderaan terdiri daripada dua motosikal, sebuah motokar dan sebuah lori turut disita atas kesalahan lesen kenderaan tamat tempoh lebih daripada setahun.
JPJ telah mengeluarkan notis saman JPJ(P)22 dan Notis Penahanan Kenderaan di bawah seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Tujuan operasi kali ini diadakan adalah mensasarkan pelbagai kesalahan oleh pengguna jalan raya serta meningkatkan pematuhan kepada peraturan jalan raya.
“Selain itu, ia juga bagi memastikan kenderaan yang berada di atas jalan raya selamat digunakan dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Di samping itu, ia dapat memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berkaitan keselamatan, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan dan kematian di jalan raya,” kata hantaran itu.
Sebarang aduan trafik boleh disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan @jpj atau http://jpj.spab.gov.my berserta butiran pengadu dan butiran aduan.


