KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki berjaya ditahan dalam tempoh kurang 12 jam selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Kampung Tanjung Bundong, hasil tindakan pantas orang awam yang menyerahkannya kepada pihak polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Barry William berkata, kejadian berlaku sekitar 5.30 pagi kelmarin ketika seorang peniaga kuih berusia 44 tahun bersama-sama keluarganya sedang tidur di rumah mereka.
“Isteri mangsa terjaga selepas terdengar bunyi mencurigakan sebelum ternampak individu melarikan diri melalui pintu utama sambil membawa beg miliknya.

“Beg tersebut mengandungi wang tunai serta beberapa dokumen penting termasuk resit pajak gadai dan pasport antarabangsa, menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM2,000,” katanya dalam kenyataan.
Barry menambah, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki rumah melalui tingkap cermin yang rosak pada bahagian kunci.
Katanya, bertindak atas maklumat dan bantuan orang awam, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun berjaya ditahan sekitar 5.30 petang hari yang sama di kawasan berhampiran kampung tersebut.
“Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan beberapa barangan dipercayai hasil curi, termasuk wang tunai RM900, sebuah beg silang serta dokumen peribadi milik mangsa. Turut dirampas ialah resit pajak gadai yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama-sama seorang lagi rakan yang masih bebas. Polis kini giat mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan.
“Semakan rekod lampau menunjukkan suspek mempunyai beberapa kesalahan jenayah terdahulu, termasuk kes pecah rumah, dadah dan memiliki barangan curi,” katanya.
Dalam pada itu kata Barry, satu cap jari turut ditemui di lokasi kejadian dan sedang dianalisis bagi tujuan pengesahan forensik.
Suspek katanya kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan, manakala permohonan reman dijangka dibuat di Mahkamah Kota Samarahan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri,” katanya.


