KUCHING: Orang ramai digesa melaporkan serta membantu mengenal pasti individu yang membuang sampah secara haram berulang kali di Lorong 5, Jalan Sungai Tapang, di sini, bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, orang ramai yang menyaksikan kegiatan itu digesa mengambil gambar individu atau kenderaan yang terlibat sebelum menyalurkan maklumat kepada beliau atau pihak berkuasa.
Katanya, gesaan itu dibuat susulan masalah pembuangan sampah secara haram yang masih berulang di kawasan berkenaan walaupun kerja pembersihan telah dilaksanakan lebih lima kali oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan kerjasama Trienekens.
“Kerja-kerja pembersihan berulang melibatkan penggunaan tenaga kerja, jentera dan dana awam yang besar, sedangkan peruntukan itu sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan awam yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, MPP turut memasang papan tanda amaran di kawasan berkenaan bagi mengingatkan orang ramai bahawa pembuangan sampah secara haram merupakan satu kesalahan.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah rumah, barangan pukal, sisa binaan serta pelbagai jenis sisa lain di lokasi sama.
Beliau berkata, menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab bersama dan menggesa penduduk membuang sampah di tempat yang disediakan bagi memastikan persekitaran kekal bersih dan sihat.
Beliau berharap kerjasama semua pihak dapat menamatkan masalah pembuangan sampah secara haram di Lorong 5, Jalan Sungai Tapang.


