ARTIKEL

Orang ramai dinasihati kurangkan aktiviti luar akibat jerebu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JULAU: Orang ramai dinasihati agar mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengehadkan pendedahan kepada jerebu untuk menjaga kesihatan diri, terutama ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata langkah berkenaan penting berikutan keadaan jerebu yang kini melanda beberapa kawasan, khususnya apabila bacaan kualiti udara menunjukkan tahap yang boleh menjejaskan kesihatan.

Menurut beliau, orang ramai perlu lebih peka terhadap keadaan kesihatan masing-masing sepanjang musim jerebu dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya kualiti udara semakin merosot.

Beliau berkata demikian ketika Program Begulai Enggau Rayat di Rumah Brayan Ak Lenggang, Tok Langu, Julau, baru-baru ini.

“Ketika musim kemarau dan jerebu, kita perlu lebih berhati-hati serta menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.

“Jika tiada keperluan, elakkan menghabiskan terlalu banyak masa di luar rumah, terutama ketika kualiti udara tidak baik untuk kesihatan,” jelasnya.

Larry turut mengingatkan individu yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan, asma, penyakit jantung atau masalah kesihatan lain supaya mendapatkan nasihat serta rawatan perubatan, selain memantau keadaan kesihatan masing-masing.

Katanya, orang ramai juga tidak seharusnya mengambil mudah sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sesak nafas, sakit dada, pedih mata atau gejala lain yang berterusan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya memberi perhatian terhadap kesihatan anak-anak, selain warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan agar mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.

“Perkara yang penting ialah menjaga diri sendiri, orang di sekeliling dan komuniti kita,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai mengurangkan aktiviti luar yang boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan akibat pendedahan kepada jerebu serta sentiasa mengikuti nasihat pihak berkuasa kesihatan berdasarkan keadaan kualiti udara semasa.

Menurutnya, kesedaran dan tindakan awal dalam kalangan komuniti penting bagi mengurangkan risiko kesihatan, terutama sekiranya keadaan jerebu berterusan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU