Trending

Orang Sarawak harus tolak politik jijik – Abdullah Saidol

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BINTANGOR: Seluruh rakyat Sarawak perlu menolak politik kotor dan jijik kerana perbuatan itu sangat bahaya, boleh mengugat perpaduan dan menjerumuskan negara ke arah kehancuran.

Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol berkata, urusan politik tidak dapat dielakkan dalam mana- mana sejarah ketamadunan manusia serta pembentukan sesebuah negara malah politik juga wujud dalam sejarah penyebaran pelbagai agama di dunia.

Bagaimana pun katanya, politik semakin dikaitkan dengan amalan sumbang, korup dan kesombongan kerana sikap rakus segelintir pengamalnya yang mengejar populariti, pangkat, mementingkan diri sendiri serta hipokrasi yang membuat masyarakat semakin meluat.

“Kenyataan saya mungkin bernada naif tetapi saya masih percaya dan yakin bahawa masih ada segelintir orang yang berkecimpung politik berjiwa ikhlas dan jujur berkhidmat pada masyarakat, berkorban dan berjuang dalam perkara yang membawa kepentingan bersama.

“Namun politik menjadi semakin jijik dan kotor apabila segelintir masyarakat terpengaruh dan terjebak dengan perbuatan negatif seperti menghina agama, mencemuh adat dan bernada perkauman,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Gawai Raya DUN N.42 Semop 2019 di Rumah Peter Mudai di sini, hari ini.

Kehadiran Abdullah dan Yusuf menyerikan majlis Gawai Raya di Rumah Peter Mudai Sungai Sian Bintangor.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pucuk pimpinan semua parti politik di negara ini berjumpa berbincang secara serius, jujur dan ikhlas bagi membendung amalan politik yang semakin tidak terkawal.

Langkah itu katanya, amat penting bagi mempastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang aman dan tenang.

“Kita tidak boleh menyalah masyarakat yang sentiasa memberi persepsi serong terhadap pemimpin- pemimpin politik. Pendek kata, tanggungjawab untuk memastikan urusan politik dihormati masyarakat terletak di tangan orang politik sendiri.

“Dalam keadaan dunia yang semakin kucar-kacir, untuk mengubah persepsi negatif masyarakat tentang politik bukan urusan yang mudah. Bagaimana pun, kamu boleh pilih sama ada mahu sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni atau rumah yang besar dan cantik?

“Keadaan menjadi semakin parah apabila media sosial disalahgunakan. Memang wujud segelintir orang berotak tapi tidak berakal. Adakalanya mulut lebih cepat daripada akal,” katanya.

Program berlangsung dalam suasana meriah.

Abdullah berkata, rakyat Sarawak tidak mempunyai pilihan lain selain terus bersatu dan menolak propaganda politik berpecah belah bagi memastikan negeri ini terus membangun dalam suasana aman dan damai.

Malah katanya, rakyat harus memilih kepimpinan yang ikhlas bekerja dan menunjuk kesungguhan untuk membawa pembangunan demi kesejahteraan bersama.

“Perayaan Gawai dan Hari Raya yang kita raikan tahun ini mungkin bukan satu kebetulan. Ia mungkin satu rahmat dan isyarat Tuhan kepada kita orang Sarawak untuk terus bersatu dan sentiasa mengekalkan keakraba tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak adalah negeri paling majmuk di Malaysia dengan kepelbagaian etnik kaum, budaya dan agama.

Justeru katanya, suasana yang baik itu tidak harus dicemari dengan unsur negatif kerana pembangunan sukar dilaksanakan jika rakyat tidak bersatu atau bekerjasama.

“Kita mesti belajar daripada kesilapan yang lepas dalam membuat keputusan. Usahlah bakar kelambu hanya kerana marahkan nyamuk,” ujarnya.

Program Ramah Tamah Gawai Raya berlangsung sehingga 24 Jun meliputi sebanyak 26 destinasi kampung serta rumah panjang dalam kawasan N.42 Semop.

Selain miring dan giling bidai, program juga dimeriahkan dengan persembahan hiburan, dan cabutan bertuah.

Dalam pada itu, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop turut menyampaikan sumbangan kepada JKKK setiap rumah panjang dan angpau Gawai Raya kepada kanak-kanak di setiap destinasi program.

Pada masa yang sama Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab yang hadir pada majlis itu turut menghulurkan sumbangan kepada JKKK setiap pintu selain angpaw raya dan gawai.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru