ARTIKEL

Organisasi perlukan kepimpinan berkualiti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kepimpinan berkualiti yang berupaya memberi inspirasi dan memacu perubahan positif memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi.

Percaya bahawa sesebuah organisasi memerlukan barisan pemimpin berwibawa untuk membawa kumpulannya ke arah kejayaan, akhbar popular Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune mengambil inisiatif memotivasikan sekitar 50 kakitangannya menghadiri kursus kepimpinan di sini, semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Jeniri Amir, inisiatif itu bukan sekadar meningkatkan pengetahuan tentang kepentingan memiliki kemahiran kepimpinan, tetapi turut bertujuan memperkasa kualiti penyampaian kedua-dua akhbar tempatan untuk menjadi pelopor media.

“Justeru, kursus ini telah direka dengan teliti untuk memperkasakan kakitangan dengan kemahiran, pengetahuan dan kualiti yang diperlukan untuk mengharungi cabaran dan peluang dalam memimpin industri media.

“Saya mahu anda merenung kesan yang boleh dimiliki sebagai pemimpin berkualiti.
Keputusan, visi dan keupayaan anda bukan hanya dapat memberi inspirasi kepada orang ramai tetapi juga mempengaruhi masyarakat, negeri dan negara.

“Ini adalah tanggungjawab besar dan keistimewaan unik sebagai media massa yang diibaratkan sebagai guru kepada masyarakat, berperanan utama dalam menyampaikan maklumat sahih dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya pada Kursus Kepimpinan bertajuk “Bagaimana Kejayaan Sebenar” yang disampaikan oleh Pengasas YAST Group, Esther Law Lee Poh di pejabat YAST Group di sini, semalam.

Usahawan hebat yang memegang pelbagai pelaburan portfolio itu, menekankan bahawa seseorang pemimpin bagus dan berkualiti tidak hanya diukur daripada tahap kepintaran, tetapi juga dari sudut pemikiran dan hati khususnya mengimbangkan antara sisi perasaan dan logik.

Tambah Dr Jeniri, dalam landskap dunia media massa yang berubah dengan pantas dek perkembangan teknologi, keperluan untuk kepimpinan yang berkesan dan berwawasan adalah lebih kritikal berbanding sebelum ini.
“Dalam industri yang dinamik seperti kita, kebolehsuaian bukan sekadar kebaikan.

Ia adalah satu keperluan dan kita perlu melengkapkan diri untuk mengharungi ketidakpastian, menerima perubahan dan memimpin pasukan dengan daya tahan dan kreativiti.

“Kepimpinan bukan statik, ia perlu berkembang supaya berupaya memberi inspirasi dan memacu perubahan positif. Saya mahu anda merenung tentang kesan yang boleh dimiliki sebagai pemimpin dalam media.

“Jadi, marilah kita menerima peluang ini, belajar daripada satu sama lain dan muncul bukan sahaja sebagai pemimpin berkualiti tetapi turut menjadi pelopor dalam industri media,” tegasnya.

Ceramah lebih dua jam itu turut menguji kemahiran komunikasi, pengurusan masa dan kepimpinan dalam kalangan kakitangan, termasuk pengurusan tertinggi, ketua bahagian, editor, sub editor, ketua pemberita dan timbalan ketua pemberita serta pengurus kanan kedua-dua akhbar.

Peserta kursus juga didedahkan dengan rahsia bagaimana menjadi pemimpin yang berkualiti bukan hanya untuk organisasi tetapi kepada keluarga dan komuniti.
Sesuai dengan prinsip Esther – saya tidak mahu menjadi yang nombor satu tetapi mahu menjadi yang satu-satunya.

Disifatkan sebagai wanita bijaksana, Esther merupakan usahawan portfolio serba boleh dengan pencapaian global.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU