ARTIKEL

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan merakam gambar kenangan bersama-sama Orkid Fauziah pada pagi Istiadat Konvokesyen Ke-24 universiti itu hari ini. Foto: Astana Sarawak

Orkid Fauziah simbol inspirasi wanita Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) memberikan penghormatan istimewa kepada isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dengan menamakan satu spesies orkid sempena nama beliau, Orkid Fauziah, pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 universiti itu yang berlangsung pagi ini.

Orkid hibrid baharu daripada spesies Phalaenopsis ini menampilkan keindahan tersendiri menerusi rona lembut serta corak unik yang mempesona.

Sekitar rakaman ketika Toh Puan menerima penghormatan istimewa dari UNIRAZAK dengan menamakan satu spesies orkid sempena nama beliau, Orkid Fauziah. Foto: Astana Sarawak

Penamaan orkid berkenaan melambangkan pengiktirafan terhadap keperibadian serta sumbangan Toh Puan yang disifatkan sebagai seorang tokoh wanita berperibadi mulia, bersahaja namun memiliki kewibawaan yang terserlah.

Pro Canselor UNIRAZAK, Datuk Mohamed Nizam Tun Abdul Razak, turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap pelibatan aktif Toh Puan dalam bidang sukan.

Menurut beliau, Toh Puan bukan sahaja berperanan sebagai peserta, malah turut menjadi penganjur kepada pelbagai acara sukan yang menyumbang kepada pembangunan serta pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Toh Puan juga mempunyai sumbangan signifikan dalam industri penerbangan yang telah menjangkau lebih dua dekad, suatu pelibatan yang jarang diketengahkan namun memberi impak besar dan berpanjangan,” katanya.

Sehubungan itu, pengiktirafan tersebut disifatkan amat bermakna dengan Orkid Fauziah diharapkan dapat menjadi simbol kasih sayang, kelembutan, keteguhan serta kecemerlangan wanita Malaysia.

Ia juga diharap terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi masa kini dan akan datang.

UNIRAZAK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan serta teladan yang ditampilkan oleh Toh Puan, selaras dengan aspirasi universiti dalam memartabatkan tokoh-tokoh yang telah memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU