MARUDI: Projek Pembangunan Industri Beras Bario bukan sahaja berkait rapat dengan aspek keselamatan makanan dan kelestarian pertanian malah memberi impak langsung terhadap ekonomi luar bandar, khususnya masyarakat pedalaman.
Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam Negeri Sarawak (PAC), Razaili Gapor berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) itu wajar diberi perhatian kerana menyentuh kepentingan rakyat secara menyeluruh.
“Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PAC untuk meneliti pelaksanaan projek yang menggunakan dana awam sekali gus memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam tadbir urus negeri.
“PAC Sarawak komited memastikan setiap projek dilaksanakan dengan telus, berkesan dan memberi manfaat sebenar kepada komuniti selaras dengan dapatan Laporan Ketua Audit Negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi taklimat di Pejabat Daerah Kecil Bario sempena lawatan kerja PAC Sarawak ke tapak projek tersebut pada 6 hingga 7 Ogos lalu.
Beliau menegaskan peranan PAC bukan sekadar memantau perbelanjaan dan pelaksanaan projek tetapi juga memastikan keberkesanannya dari segi impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Projek Pembangunan Industri Beras Bario dianggap signifikan kerana padi Bario merupakan tanaman bernilai tinggi dan terkenal dengan kualiti uniknya, diusahakan oleh komuniti tempatan secara tradisional di kawasan tanah tinggi. Permintaan terhadap beras ini bukan sahaja datang dari pasaran tempatan malah turut menembusi pasaran luar negara.
Peningkatan pengeluaran melalui pendekatan moden dan bersepadu dijangka dapat membantu petani meningkatkan pendapatan serta memelihara kelestarian sumber alam di kawasan berkenaan.
Delegasi PAC turut mengambil peluang meninjau secara dekat kawasan penanaman, fasiliti pemprosesan dan peralatan pertanian yang digunakan dalam projek tersebut.
Dalam kunjungan itu, mereka turut diraikan dalam majlis makan malam bersama pemimpin komuniti yang dihoskan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala sebagai tanda penghargaan kepada PAC atas kesudian meninjau projek berkenaan.
Turut hadir dalam lawatan ialah Datuk Mohd Chee Kadir (ADUN Kabong), Datuk Lo Khere Chiang (ADUN Batu Kitang), Miro Simuh (ADUN Serembu), See Chee How (ADUN Batu Lintang), Setiausaha Tetap M-FICORD Datu Sirai Daha, Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan) Jabatan Pertanian Sarawak Gilbert Igi dan Setiausaha PAC Sarawak Nur Azhar Bujang.

