Padah terbabit dadah

PADAWAN: Seorang wanita dan dua lelaki ditangkap kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Mereka ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di tempat letak kereta Lorong Persiaran Bandar Batu Kawah 1H, MJC Batu Kawa di sini, kira-kira jam 2.44 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, ujian air kencing ke atas semua suspek berusia 21, 35 dan 26 tahun itu turut mendapati mereka positif Methamphetamine.

Katanya, turut dirampas daripada suspek ialah 51 gram syabu dianggarkan bernilai RM5,000 dan 32 biji pil erimin 5 bernilai RM700.

“Hasil siasatan awal, salah seorang suspek mengaku mengambil dadah jenis syabu secara transaksi bank.

“Kali terakhir dia mengambil ‘barang’ di sekitar kawasan BDC untuk dibawa ke Lundu pada hari sebelum ditangkap.

“Tiada pengakuan daripada dua lagi suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidil menambah ketiga-tiga suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman.

Katanya dua daripada suspek lelaki ditahan di lokap Balai Polis Siburan manakala suspek wanita ditahan di lokap Balai Polis Beratok.

Dadah yang dirampas daripada suspek.