KUCHING: Kuching City FC menerima perkembangan positif apabila penyerang Ronald Ngah Wanja atau Pak Ngah bersama dengan beberapa pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan kembali menjalani latihan menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan FC, petang esok.
Selain Ronald, Ajdin Mujagic dan Irfan Zakaria turut kembali menyertai sesi latihan skuad The Cats, sekali gus memberi kelegaan kepada barisan kejurulatihan selepas pasukan berdepan masalah kecederaan beberapa tonggak utama.

Bagaimanapun, Joao Pedro dan Jimmy Raymond masih bergelut dengan kecederaan, menyebabkan kedua-dua pemain berkenaan belum dapat menyertai latihan seperti biasa.
Kepulangan beberapa pemain itu hadir tepat pada masanya ketika Kuching City bersiap sedia menyambung saingan Liga Super 2026/2027 selepas berehat sepanjang tempoh perlawanan antarabangsa November.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dijadual menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi ketujuh Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dengan sepak mula jam 4.45 petang.
Bagaimanapun, penyertaan semula Ronald, Ajdin dan Irfan dalam latihan belum menjamin ketiga-tiga pemain itu akan diturunkan kerana tahap kecergasan mereka masih perlu dinilai menjelang perlawanan.
Kuching City kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 12 mata daripada enam perlawanan hasil empat kemenangan dan dua kekalahan, selain merekodkan 17 gol serta tujuh bolos.

Skuad The Cats tentunya mahu kembali ke landasan kemenangan selepas mengalami kekalahan tipis 2-3 kepada DPMM FC pada aksi liga terakhir mereka, 18 Oktober lalu.
Berdasarkan rekod pertemuan, Kuching City turut memiliki kelebihan psikologi apabila mencatat empat kemenangan daripada sembilan perlawanan kompetitif menentang Negeri Sembilan, berbanding satu kemenangan lawan dan empat keputusan seri.
Pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Januari lalu, Kuching City berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-0, sekali gus menjadi bekalan keyakinan menjelang kunjungan ke Paroi.
Namun, skuad Hobin Jang Hobin dijangka memberikan tentangan sengit di laman sendiri dalam usaha memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Liga Super.
Bagi Kuching City, pertemuan itu juga menjadi peluang mengembalikan momentum selepas kejayaan mara ke final Piala FA apabila menyingkirkan Selangor dengan agregat 3-2 pada separuh akhir, awal bulan ini.
Selepas aksi di Paroi, The Cats akan kembali memberikan tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara Dua AFC (ACL2) apabila dijadual menerima kunjungan Phnom Penh Crown FC dari Kemboja pada 26 November, jam 6 petang.

