KUCHING: Debak mencipta sejarah baharu apabila buat julung kalinya menganjurkan acara sukan permotoran menerusi Debak Track Day 2026 pada 15 November lalu.
Ia sekali gus membuka ruang pembangunan bakat penunggang motosikal di Saribas.

Program anjuran Kelab Sukan Permotoran D1 (D1MC) di bawah naungan Persatuan Sukan Permotoran Sarawak (SMA) itu berlangsung di Tapak Skim Pembesaran Kampung (SPK) Debak sempena Pesta Debak 2026.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, penganjuran sulung itu membuktikan sukan permotoran berpotensi berkembang di luar bandar melalui aktiviti yang tersusun dan berterusan.

“Walaupun penyertaan kali pertama ini melibatkan 13 penunggang, ia merupakan permulaan yang baik. Kita mahu lebih ramai anak tempatan berani mencuba dan mengembangkan bakat mereka dalam bidang permotoran.
“Kurangnya penyertaan mungkin disebabkan pendedahan acara seperti ini masih terhad. Sebab itu, saya menyokong usaha menganjurkan lebih banyak program permotoran di Saribas supaya belia berpeluang menyertainya,” katanya ketika mengulas penganjuran berkenaan.


Beliau hadir untuk menyempurnakan pelepasan 13 peserta bagi menguji kemahiran dan keupayaan jentera di litar sementara sepanjang 820 meter.
Menurut Mohammad Razi, acara itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada peserta, malah membantu mencungkil bakat tempatan serta memupuk budaya permotoran yang positif.
Berbeza dengan perlumbaan kompetitif, konsep Track Day menekankan pengalaman tunggangan terkawal bagi meningkatkan teknik pengendalian motosikal, disiplin dan keselamatan peserta.

Penganjuran itu turut membuka peluang kepada komuniti luar bandar mengenali sukan permotoran secara lebih dekat, selain menggalakkan penyertaan lebih ramai belia pada masa hadapan.
D1MC turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Pejabat Daerah atas kerjasama menjayakan program berkenaan yang diharap menjadi asas kepada penganjuran lebih banyak acara permotoran di Saribas.


