KUCHING: Pemergian mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Allahyarham Datuk Sudarsono Osman semalam, meninggalkan impak yang cukup signifikan dalam dunia bola sepak tempatan.
Jasa dan sumbangan Allahyarham dalam sukan bola sepak di Sarawak selama tiga penggal (2010-2016) menerajui tampuk kepimpinan badan induk itu jelas memperlihatkan banyak perubahan.
Malah, sehingga hari ini, perubahan serta kemajuan sukan bola sepak hasil dilakukan Allahyarham bersama-sama barisan exco ketika itu tetap kekal dalam sanubari masyarakat.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (PBBM 2009), Mohd. Saif Jubaidi mengakui terkejut dan bersedih sebaik dimaklumkan berkaitan perkara itu semalam.
“Kita kehilangan permata bola sepak Sarawak. Allahyarham seorang yang berjiwa bola sepak,” ujar Saif kepada Arena Suara Sarawak.

Saif yang merupakan antara salah seorang exco FAS pada era pimpinan Allahyarham mengakui, Allahyarham telah banyak mengubah landskap bola sepak ketika itu.
Detik paling manis ketika Allahyarham menjadi Presiden FAS adalah apabila berjaya memastikan pasukan Sarawak muncul juara Liga Perdana 2013.
Bukan itu sahaja kata Saif, perubahan landskap bola sepak di semua bahagian juga turut menyaksikan perubahan ketara.
Sekali gus, berupaya memperlihatkan kemunculan ramai bakat baharu mewarnai pentas bola sepak tempatan.
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini turut bersedih dengan pemergian Allahyarham.
Beliau menegaskan, Allahyarham merupakan individu yang berjiwa besar dalam sukan bola sepak.
“Sumbangan Allahyarham dalam sukan bola sepak Sarawak amat besar sekali.
“Sepanjang tiga dekad menerajui FAS, Allahyarham berjaya menaikkan bola sepak Sarawak ke satu tahap yang cukup membanggakan ketika itu,” tegas Abang Suhordie.

Beliau akui pemergian mengejut Allahyarham semalam disifatkan sebagai kehilangan permata yang tiada galang ganti.


