KUALA LUMPUR: Meskipun kepentingan dan potensi besar kecerdasan buatan (AI) dalam industri media semakin berkembang, pakar berpendapat teknologi yang pesat berkembang ini masih memerlukan pemantauan wartawan profesional kerana kepakaran manusia tidak boleh digantikan sepenuhnya.
AI telah membuktikan keupayaannya dalam meningkatkan proses pengeluaran berita, daripada memperkemas penyampaian kandungan hingga mendorong inovasi merentas industri.
Bagaimanapun, pergantungan yang semakin meningkat terhadap AI turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan, menjadikannya faktor keutamaan dalam industri media.
Arkitek AIGC Huawei Cloud Malaysia, Dr Claymond Lim Wei Xiang, menekankan bahawa isu keselamatan akan kekal sebagai keutamaan utama industri media dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau menekankan keperluan mendesak untuk hala tuju yang jelas bagi pelaksanaan AI.
Beliau berkata, meskipun pelbagai teknologi AI tersedia di peringkat global, industri media perlu memastikan aspek keselamatan, termasuk menangani ancaman penggodaman serta ketepatan berita.
“Kesimpulan saya ialah AI hanyalah alat dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepadanya,” katanya.
Beliau bercaap kepada BERNAMA selepas sesi panel yang diadakan sempena Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) OANA ke-54 yang berlangsung selama empat hari bermula Ahad.
Sebagai salah seorang ahli panel perbincangan itu, Claymond yang juga jurutera penyelesaian teknologi berkata, agensi berita sedang bergerak ke arah yang betul.
Namun demikian, beliau mencadangkan agar kerjasama dengan universiti dan penyelidik diteroka bagi meneroka trend masa depan dalam pembangunan media.
“Ini bukan hanya soal keselamatan, tetapi juga mengenai menilai keseluruhan proses aplikasi AI dari awal hingga akhir – daripada bukti konsep (POC) hingga pelaksanaan akhir.
“Bagaimana kita merancang projek ini? Bagaimana kita menguruskannya? Inilah yang kita panggil hala tuju,” katanya.
Dalam sesi panel terdahulu bertemakan ‘Evolving Newsrooms: Building Digital-First, Audience Centric Approach to Stay Ahead’, Claymond berkata industri berita sentiasa mengalami perubahan dan penerapan teknologi digital serta strategi berorientasikan audiens adalah penting untuk kejayaan.
Beliau menjelaskan bahawa teknologi AI menawarkan peluang dan cabaran yang perlu ditangani secara berhati-hati.
“Bilik berita yang mampu menyesuaikan diri dan berinovasi akan menjadi yang terus maju pada masa depan,” katanya.
Claymond turut berkongsi bahawa dari perspektif Huawei Cloud, ciri keselamatan dan AI baharu mereka dibangunkan oleh pasukan teknologi maklumat dalaman bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan dengan kebolehgunaan kepada pengguna.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj, serta Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa, Mohd Shukri Ishak, yang kini menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang perkhidmatan itu.
Sesi itu turut dihadiri Setiausaha Agung OANA, Zaman Rezakhani, yang juga Pengarah Hubungan Antarabangsa Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), bersama wakil daripada 13 agensi berita antarabangsa. – BERNAMA (Chiang Hee Tze & Harizah Hanim Mohamed)

