Pakej rangsangan bantu industri kurangkan impak akibat COVID-19 – Lim

CYBERJAYA: Pakej rangsangan yang dijadual diumumkan minggu depan akan mengurangkan kesan penularan jangkitan COVID-19 ke atas ekonomi di samping membantu industri meningkat semula apabila virus itu dapat dikekang.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia merupakan antara negara paling awal melancarkan pakej berkenaan walaupun kesan jangkitan itu masih belum dapat dipastikan.

“Pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan kerajaan memberi perhatian dan keutamaan kepada cabaran yang timbul susulan jangkitan COVID-19.

“Ini juga menunjukkan kita mengambil langkah segera untuk menyesuaikan dengan keadaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program geran RM500 juta bagi pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana di sini, hari ini.

Pakej rangsangan ekonomi itu dijadual diumumkan pada 27 Feb ini.

Lim berpendapat cabaran yang ditimbulkan oleh COVID-19 hanya bersifat sementara dan sekiranya ia reda pada April, ekonomi dijangka mengukuh semula.

Mengenai langkah yang akan diperkenalkan dalam pakej rangsangan ekonomi itu, beliau berkata ia akan menjurus kepada sektor utama yang terjejas.

“Tumpuan kita pertamanya adalah kepada sektor yang terjejas selain memastikan mereka masih beroperasi, berfungsi dan dapat meraih manfaat daripada peningkatan semula, serta pada masa sama mengekalkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi kita. Ini adalah pakej yang dirancang akan laksanakan,” katanya.

Lim berkata bagaimanapun kerajaan hanya akan membantu mengurangkan kesan buruk COVID-19 bukannya membayar balik keseluruhan kerugian memandangkan ia adalah risiko yang perlu dihadapi perniagaan.

Beliau berkata Kementerian Kewangan (MoF) bukan sahaja telah mengadakan banyak libat urus dengan semua industri dan sektor, malah masih mempertimbangkan cadangan dan bantuan yang diperlukan, tertakluk kepada kemampuan fiskal negara.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selepas Bank Negara Malaysia, pada minggu lepas, mengumumkan kadar pertumbuhan Malaysia berada pada 4.3 peratus bagi 2019, kadar terendah dalam tempoh 10 tahun, Lim berkata pengumuman itu akan dibuat semasa pengumuman pakej rangsangan ekonomi tersebut.

Beliau berkata banyak penjelasan perlu diberikan mengenai prestasi KDNK dan kini adalah masa untuk memandang ke hadapan.

Lim turut menolak kemungkinan kemelesetan melanda Malaysia disebabkan penularan jangkitan itu.

“Kadang-kadang kebimbangan adalah lebih teruk daripada jangkitan (COVID-19) itu sendiri. Jadi, kita tidak seharusnya terperangkap dalam kebimbangan tersebut malah perlu menangani cabaran berkenaan berdasarkan fakta daripada terpengaruh dengan berita palsu atau penyebaran khabar angin.

“Kita perlu terus yakin dengan daya tahan ekonomi kita dan sikap kerja kuat rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama

Suara Sarawak