Paling tragis di Sarawak

KUCHING: Dalam tempoh lapan tahun iaitu dari 2012 hingga semalam, tragedi Feri Triso pada hari pertama 2021 boleh dikatakan sebagai kemalangan feri paling buruk di Sarawak.
Ini kerana berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, dari 2012 hingga 31 Disember 2020, hanya satu kes kehilangan nyawa, dan satu kes belum dijumpai daripada keseluruhan empat kemalangan feri yang berlaku di negeri ini.
Menurut Pengarahnya Khirudin Drahman, kejadian yang melibatkan satu nyawa yang juga kes pertama berlaku pada 26 Mac 2016 apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terjunam ke dalam sungai di pangkalan feri Muara Tuang Kota Samarahan.
“Sementara berdasarkan statistik untuk tempoh dari 2012 hingga 2 Januari, lima kejadian kemalangan feri telah berlaku di Sarawak.
“Ia melibatkan 10 kematian dengan dan seorang lagi tidak dijumpai kerana menurut perundangan selepas tujuh tahun mangsa tidak dijumpai barulah disahkan mati,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.
Mengenai kemalangan pertama iaitu pada 2016, ia melibatkan seorang lelaki, Liang Rengga, 56, yang berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
Dia tidak mengalami sebarang kecederaan, jelasnya.
Mangsa memaklumkan bahawa dia berseorangan di dalam kenderaannya tetapi orang ramai mendakwa masih ada seorang lagi mangsa terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.
Kereta mangsa terjunam ke dalam sungai setelah pemandunya tertekan pedal minyak.
Kejadian kedua berlaku pada 12 Mei 2017 iaitu kejadian feri karam di feri Batang Rambungan, namun kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa mahupun kehilangan nyawa.
Kejadian itu membabitkan feri Pantai Damai dan Seketi yang sedang membuat persediaan untuk beroperasi pada jam 4.30 pagi.
Ketika kejadian belum ada kenderaan atau penumpang menaiki kedua-dua feri itu.
Sementara kejadian ketiga berlaku pada 14 Mei 2018 di pangkalan feri Muara Tuang. Mangsa Bernabas Lias Jalal, 77, yang memandu kenderaan pacuan empat roda tergelincir jatuh dari feri dan masih tidak dijumpai hingga kini.
Kejadian keempat katanya, berlaku pada 13 Mac 2019 itu kereta terjunam ke dalam Sungai Krian (Kaba-Kabong), Jalan Saratok tetapi tidak melibatkan kecederaan.
Kejadian kelima pula berlaku pada 1 Januari 2021 dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda menjunam ke dalam Sungai Batang Lupar di pangkalan feri Triso yang mengakibatkan sembilan mangsa maut.
Kejadian menggemparkan seluruh negara itu membabitkan lima lelaki dan empat perempuan dengan mangsa termuda berusia empat bulan.

Suara Sarawak