KUCHING: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) bakal menganjurkan Pameran Pendidikan 2023 pada 18 Mac ini di Dewan Panglima Rentap, Betong.
Pegawai Publisiti DTTAS Edu Fair 2023 Natlie Austin berkata, program yang bermula seawal jam 9 pagi hingga 6 petang itu dilaksanakan demi memenuhi tuntutan pelajar lepasan SPM dan STPM.
Beliau berkata pada tahun 2022, hangat diperdebatkan isu pelajar lepasan SPM yang enggan melanjutkan pengajian selepas tamat tingkatan lima dan Jabatan Perangkaan turut mendedahkan sebanyak 72.1 peratus atau 390,000 lepasan SPM tidak berbuat demikian pada tahun 2021.
“Hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2019 mendapati 5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta populasi rakyat Malaysia tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara.
“Ia satu situasi membimbangkan apabila sebahagian besar iaitu 72.1 peratus daripada rakyat negara ini juga memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas SPM.
“Kita percaya golongan yang tidak bersekolah ini terdiri daripada mereka yang lahir daripada keluarga susah, sebilangannya masyarakat Orang Asli dan masyarakat Orang Asal Sabah serta Sarawak,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menambah, sekiranya masih ramai pekerja yang mempunyai kemahiran yang rendah, ia akan menyebabkan produktiviti, inovasi dan daya saing menurun.
“Ia sudah tentu menyebabkan peluang pekerjaan baharu sukar diwujudkan dan memberi kesan terhadap gaji pekerja yang rendah.
“Ini kerana ketiadaan kemahiran tinggi serta pengetahuan tertentu akan mendorong kepada kekurangan pakar dalam negara dan perkara itu akan menyukarkan pasaran buruh mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu bersama kadar gaji yang lebih tinggi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap graduan untuk mempersiap diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan yang sangat kompetitif.
Katanya, graduan ini juga harus sedar pencapaian akademik semata-mata tidak menjamin mereka untuk mendapat jawatan setaraf dengan kelulusan yang mereka perolehi.