ARTIKEL

Pan Gon mohon maaf, prestasi Harimau Malaya kurang menyengat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DOHA: Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon mengakui Jordan lebih kuat daripada yang disangka dan layak memenangi perlawanan, selepas pasukannya tumbang 0-4 pada perlawanan Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini, malam ini (16 Jan waktu Malaysia).

Pan Gon berkata skuad The Chivalrous Ones lebih baik dari segenap aspek, berbanding pasukan bimbingannya pada pertembungan itu.

Justeru, pengendali dari Korea Selatan itu memohon maaf kepada semua peminat bola sepak tempatan kerana gagal memberikan keputusan positif seperti yang diharapkan.

“Tahniah kepada Jordan, mereka tunjukkan prestasi baik malam ini dan mereka layak menang kerana secara fizikal dan teknikalnya mereka lebih baik dari kami.

“Saya mohon maaf daripada peminat Malaysia, kita jangka dapat berikan cabaran sengit dan saya rasa sedih. Kami perlu pulih dengan cepat atas kekalahan ini untuk hadapi dua perlawanan lagi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam ini.

Mengulas mengenai kesebelasan utamanya yang menyaksikan pasukan dibolosi tiga gol pada separuh masa pertama, Pan Gon berkata percaturan dibuat itu kerana mahukan pasukan bermain secara menyerang berbanding bertahan.

“Kami melihat kepada (cara) menyerang malam ini, tetapi Jordan terlalu kuat, separuh masa pertama amat tertekan dan ia sukar untuk diperkatakan, kami akan kaji perlawanan ini dan perbetulkan keadaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Jordan Hussein Ammouta berkata kemenangan pada aksi pertama sangat penting, selain memuji barisan pemainnya yang menunjukkan disiplin serta fokus yang tinggi untuk mengutip tiga mata.

“Ia satu perlawanan penting bagi kami untuk bermula dengan kemenangan yang besar, sejak dari minit pertama kami bermula dengan betul dan amat penting kami jaringkan gol kedua dan ketiga dan teruskan rentak.

“Kami mendapat keyakinan dengan tiga gol pada separuh masa pertama, ia permulaan yang bagus dan kami tidak sabar untuk hadapi perlawanan seterusnya,” kata jurulatih berusia 54 tahun itu.

Pada perlawanan malam ini (awal pagi waktu Malaysia), dua gol masing-masing oleh Mahmoud Almardi dan Mousa Altamari, memberikan permulaan sempurna kepada Jordan sekali gus mendahului saingan Kumpulan E, dengan berkongsi tiga mata bersama juara dua kali Korea Selatan.

Kekalahan Malaysia itu pula menyaksikan ia keputusan terburuk pasukan negara di bawah bimbingan Pan Gon, sejak beliau dilantik pada Januari 2022.

Selepas ini, Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hammad, Sabtu ini, sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Korea Selatan di sini pada 25 Jan.– BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Kesihatan Tze Yong diutamakan BAM – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, dalam usaha mengejar slot ke

Enam perlawanan ujian awal sri kandi Sarawak

KUCHING: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, Suffian Ibrahim menegaskan enam perlawanan persahabatan bakal diharungi barisan pemain yang berada dalam skuad bayangan ketika ini. Tiga

BERITA TERBARU