SIBU: Tindakan pantas seorang pemilik rumah memadam kebakaran yang berlaku di bahagian dapur rumahnya di Jalan Salim, Lorong 18 A/6 di sini menyelamatkan rumahnya daripada musnah, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.28 tengah hari.
Pihak BBP Sibu Sentral kemudian, katanya, mengerahkan sepasukan anggotanya ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, kebakaran berlaku di bahagian dapur rumah terbabit.
“Anggota bomba kemudian membuka ruang tingkap rumah tersebut untuk membuat pengudaraan memandangkan masih ada asap di dalam rumah,” katanya.
Beliau berkata, api berjaya dipadamkan oleh pemilik rumah menggunakan air sebelum ketibaan pihak bomba.
Jelasnya lagi, kebakaran menyebabkan penyedut asap terbakar dan tidak melibatkan struktur bangunan kekal dua tingkat serta anggaran kemusnahan lapan peratus.
“Setelah keadaan selamat pasukan bomba bertolak balik ke balai.
Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.23 tengah hari,” ujar beliau.


