Pantau aktiviti anak-anak ketika banjir

MUKAH: Ibu bapa, ahli keluarga, penjaga dan komuniti setempat dinasihatkan agar sentiasa memantau perkembangan aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak terutamanya pada musim banjir ini bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kini tambahan dengan cuti sekolah dan ramai anak-anak yang pulang ke kampung halaman mahupun anak-anak di kawasan perkampungan yang mengalami banjir.

“Kebiasaannya apabila mereka berkumpul pelbagai aktiviti mereka akan lakukan bersama-sama, jadi kita tidak mahu pelbagai masalah berlaku kepada mereka, oleh itu, pastikan pergerakan mereka sentiasa dipantau.

“Sebelum ini juga saya ada melihat sendiri air sungai di Batang Oya sangat deras, walaupun kita pandai berenang sekalipun sekiranya air deras ini boleh menyebabkan kita lemas,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas merasmikan Majlis perasmian Bengkel Pemerkasaan Badan Bukan Berkanun Kerajaan (NGO) Bahagian Mukah di Hotel Mukah hari ini.

Manakala kepada kawasan yang pertama sekali mengalami banjir seperti di Kelit, Dalat Dan Kenyana Mukah, beliau turut menasihatkan kepada warga sekolah yang berada di kawasan tersebut agar bersama-sama dengan penduduk kampung bekerjasama memindahkan barangan dan peralatan yang perlu di tempat yang tinggi dan selamat.

“Misalnya peralatan dapur asrama, barangan perabot asrama, katil, barangan pejabat dan sebagainya supaya tidak terkenal air yang boleh menyebabkan kerosakan setelah sesi persekolahan baharu dibuka nanti.

“Walaupun cuti sekolah saya percaya pasti pihak sekolah telah membuat jadual terlebih dahulu dalam memastikan langkah awal menangani kerosakan peralatan dapat dipindahkan ke tempat tinggi dengan selamat,” katanya.

Sebelum berakhirnya bulan Disember ini beliau turut merancang untuk turun padang ke kawasan Kelit bagi melihat kawasan di sana.

Fatimah juga menasihatkan Ketua Kaum dan Masyarakat agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika paras air banjir semakin meningkat ke tahap yang membimbangkan di kawasan masing-masing

“Pertama sekali kita perlu lapor kepada pengerusi jawatan kuasa bencana di peringkat Daerah melalui Pegawai Daerah dan diikuti pada peringkat Bahagian melalui Residen.

“Pastikan hubungi mereka dan minta Khidmat nasihat tentang perkara dan tindakan yang perlu dibuat, pada masa yang sama sukarelawan di akar misalnya sukarelawan Bomba, pasukan CERD, JPAM dan sebagainya mereka sudah bersedia membantu apabila diperlukan,” jelasnya lagi.