SELANGOR: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berpuas hati dengan kecemerlangan yang dipamerkan atlet baharu apabila berjaya meraih pingat dan mencipta rekod baharu pada temasya Sukan Para SUKMA Selangor 2026.
Ia sekali gus memperlihatkan program pembangunan yang menjurus kepada usaha pencarian bakat baharu ‘Talent Identification’ (TID) berjaya membuahkan hasil.

Beliau berkata, perkembangan positif tersebut memberi keyakinan bahawa program berkenaan berupaya menjadi platform penting ke arah melahirkan atlet pelapis berpotensi tinggi.
“Walaupun mereka ini ‘first-timer’, ada beberapa orang yang berjaya mendapat emas dan bukan sahaja emas, malah memecahkan rekod.
“Ini sememangnya satu perkembangan yang amat memberangsangkan dan memberi kita semangat untuk terus mempergiatkan usaha mencari serta membangunkan lebih ramai bakat baharu,” ujar Fatimah ketika ditemui media selepas menyaksikan acara olahraga Para SUKMA XXII Selangor 2026 di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.
Fatimah berharap liputan media yang lebih meluas berkaitan peluang dalam sukan para dapat membuka mata lebih ramai ibu bapa dan keluarga untuk melihat bidang sukan sebagai salah satu ruang pembangunan potensi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Tambah beliau, kejayaan atlet baharu pada temasya kali ini membuktikan bahawa seseorang tidak semestinya mempunyai pengalaman panjang untuk menyerlah, sebaliknya latihan, pendedahan dan peluang yang tepat mampu mempercepat perkembangan atlet terbabit.



