KUCHING: Pergerakan atlet mahupun pegawai untuk ke setiap lokasi pertandingan sepanjang berlangsung temasya Sukan Para SUKMA XXI 2024 yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 28 September ini dijamin terurus lancar dan selesa.
Ia berikutan tersedia 150 buah jentera pengangkutan mencakupi 45 buah bas, 62 van, 15 kereta, 18 kereta pelbagai guna (SUV) dan 10 lori yang akan digunakan sepanjang tujuh hari kejohanan dwitahunan negara itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, menjelaskan bahawa keselesaan pergerakan semua kontinjen terilbat menjadi keutamaan pihaknya pada temasya yang akan berlangsung kelak.
“Sebanyak 150 buah pengangkutan disediakan untuk atlet dan pegawai sepanjang temasya itu berlangsung nanti.
“Rapid KL merupakan rakan strategik pengangkutan kita dengan perkhidmatan yang disediakan adalah percuma tanpa melibatkan sewaan dan kos penghantaran bas (RM845,000) ditanggung oleh Kerajaan Sarawak melibatkan penghantaran pergi balik dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuching,” ujar Fatimah pada sidang media selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Para SUKMA XXI 2024 Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pagi tadi.
Hadir sama pada sidang media itu Ketua Pegawai Eksekutif Para SUKMA XXI Sarawak 2024, Datuk Hii Chang Kee.
Dalam pada itu, Fatimah turut menyatakan, seramai 44 orang pegawai dan petugas Rapid Bus akan tiba di Kuching pada 13 September 2024 bagi menyesuaikan diri dengan laluan ke lokasi-lokasi pertandingan.


