MATU: Pusat Khidmat P.207 Igan meneruskan penghantaran bantuan makanan kepada enam rumah panjang dan dua kampung di kawasan pesisir Ilas, Batang Igan.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penduduk di kawasan berkenaan juga diutamakan dan mendapat perhatian sewajarnya kerana kepayahan mereka membeli barangan keperluan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Ahmad Johnie yang lebih mesra dengan panggilan YB AJ dalam kalangan penduduk kawasan, pada masa sekarang, semua pengangkutan air seperti bot ekspres dan sebagainya tidak beroperasi berikutan PKP.
“Kesusahan yang mereka hadapi lebih berat berbanding tempat-tempat lain masih boleh dan mudah mendapat keperluan harian,” katanya.
Selain kawasan rumah panjang, Pusat Khidmat Parlimen itu turut menghantar bantuan kepada penduduk di Kampung Kuala Matu Hilir.
Ahmad Johnie turut turun padang membantu proses agihan bantuan itu.


