KUCHING: Orang ramai digesa melaporkan sebarang kes kanak-kanak dieksploitasi untuk tujuan kempen politik terus kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata MCMC sentiasa menasihati parti politik dan individu supaya tidak menggunakan kanak-kanak sebagai kandungan politik.
“Kanak-kanak perlu dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menolak pelibatan anak-anak dalam aktiviti sedemikian kerana masa depan mereka masih panjang. Anak-anak harus dibimbing untuk menjadi warganegara yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Latihan Kesaksamaan Ketidakupayaan (DET) dan Program Perkhidmatan Job Coach (PPJC) di Cawangan Sarawak, Institut Aminuddin Baki, hari ini.
Menyentuh tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang membenarkan anak mereka terlibat dalam kempen politik, Nancy menegaskan orang ramai boleh membuat laporan terus kepada MCMC.
“Kita boleh melaporkan kepada MCMC dan mereka akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” ujarnya.
Tambah beliau, laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sesuai kerana skop tanggungjawab SPR berbeza.
“Pihak SPR mempunyai beban kerja besar pada waktu ini.
“Tidak adil untuk mengganggu SPR, jadi laporan terus kepada MCMC lebih tepat kerana ia bersifat tempatan,” jelasnya.
Seruan ini dibuat susulan kebimbangan rakyat yang meningkat selepas kematian Zara Qairina Mahathir yang didakwa menjadi mangsa buli sebelum meninggal dunia.

