ARTIKEL

Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari bilik Mahkamah Majistret oleh anggota polis

Pasangan Kekasih Dipenjara Tipu Mangsa RM11,159 di Sri Aman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SRI AMAN: Sepasang kekasih masing-masing dikenakan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana menipu tujuh orang mangsa dalam pembelian bir, arak dan perkhidmatan menunda kenderaan melibatkan wang berjumlah RM11,159.

Wellmin Bajing, 38, dari Sebauh, Bintulu, dan Jacqueline Cheria Insam, 37, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan yang dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Wellmin menghadapi lapan pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kerana secara tidak jujur menipu tujuh orang mangsa berusia 34 hingga 58 tahun dengan menyuruh menyerahkan wang secara keseluruhan RM11,159.

Sabit kesalahan, hendaklah dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Dia melakukan kesalahan itu di beberapa buah tempat di sekitar Sri Aman dan Lubuk Antu, pada 17 Oktober 2025 hingga 20 Mac lepas.

Hakim Intan menjatuhkan hukuman penjara satu tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang dikenakan ke atas Wellmin.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan hukuman Wellmin lapan tahun dan lapan sebatan.

Manakala, Jacqueline Cheria menghadapi tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 424(c) Kanun Keseksaan kerana menjadi keldai akaun kepada pasangannya dengan menyimpan wang berjumlah RM10,659.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan yang dikenakan. Ia sekali gus menjadikan jumlah hukuman penjara tertuduh selama 56 bulan.

Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan mendedahkan modus operandi Wellmin dengan menawarkan pembelian minuman keras kepada mangsa dengan menyuruh mereka membuat pembayaran ke akaun peribadi pasangannya (Jacqueline).

Namun, minuman keras yang ditempah adalah tidak wujud dan tidak dihantar kepada mangsa walaupun pembayaran telah dibuat.

Selain itu, dia juga menipu salah seorang mangsa dalam pembayaran menunda kenderaan pacuan empat roda.

Ketika mangsa menghubungi tertuduh, dia berjanji akan mengembalikan wang tersebut, namun tidak memulangkan wang tersebut, malah melarikan diri bersama-sama kekasihnya.

Laporan polis dibuat seterusnya membawa kepada kedua-dua pasangan terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Farah Ain Hazaline Abdullah, manakala siasatan kes dilakukan oleh Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Lim Hock Liong.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU