ARTIKEL

Suspek ditahan lanjut untuk membantu siasatan. | Foto IPD Mukah.

Pasangan kekasih ditahan disyaki guna dadah di Mukah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Sepasang kekasih ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di Kampung Penakub Hilir di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 28 tahun ditahan kira-kira pukul 8.40 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.

Menurut beliau, serbuan itu dilakukan selepas pihak polis menerima aduan serta maklumat awam berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah yang dipercayai berlaku di kawasan berkenaan.

Katanya, susulan maklumat tersebut, polis menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Anggaran berat dadah yang dirampas adalah kira-kira 0.26 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala suspek wanita didapati negatif dadah.

Tambah beliau, suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala suspek wanita yang tidak bekerja tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan terdahulu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama dua hari sehingga 10 Mac 2026 bagi membantu siasatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU