Pasar raya maya

KUCHING: Perniagaan atas talian dalam tempoh PKP boleh dianggap satu kelaziman baharu yang perlu terus diamalkan dan diterima dalam masyarakat. Kewujudkan Sehgar Mart sebuah pasar raya maya yang mula tertubuh aktif pada minggu kedua PKP banyak membantu suri rumah sehinggalah ke hari ini.

SEHGAR Mart merupakan hasil inisiatif dua anak muda dari Kuching, Nur Fitri Hassan 31 dan Nurhasnina Hasamudin 28, yang memperkenalkan pasar raya maya yang berkonsepkan halal dan segar sepertimana jenamanya.

Menurut Nur Fitri tertubuhnya Sehgar Mart pada peringkat awal pada tahun 2019 ialah hanya bertujuan membekalkan Ikan Tilapia Merah secara borong kepada warung makan di Kuching, termasuk juga terus kepada suri rumah.

“Apabila PKP ini mula dikuatkuasakan permintaan suri rumah mula meningkat, maka dari situlah idea kami berdua untuk membangunkan Sehgar Mart ini terhasil, dan sehingga kini kami mempunyai empat kakitangan sahaja termasuk penghantar barang.

“Secara asasnya Sehgar Mart menyediakan barangan keperluan makanan dapur yang segar seperti sayur-sayuran, buahbuahan, tangkapan laut seperti ikan dan sotong, daging dan juga menu untuk bersahur sempena Ramadan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

 

Jelasnya secara purata untuk tempoh seminggu sahaja pihaknya mampu memperoleh hasil pendapatan lebih kurang RM3000 manakala dalam sehari dianggarkan RM1000 hingga RM1500 dan waktu operasi jualan melibatkan penghantaran ialah pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

Pemilihan pembekal juga jelasnya memainkan peranan kerana pihaknya amat mementingkan kebersihan dan konsep halal .

“Kesemua pembekal barangan makanan yang ada kami jual di sini ialah dari sepenuhnya pembekal Muslim, termasuk juga pembekal dari berbangsa Iban Muslim dan yang paling penting mereka mengamalkan konsep halal.

“Manakala dari konsep pembayaran kami di sini sepenuhnya menggunakan bayaran atas talian sama ada dari perbankan Internet dan dompet tanpa tunai yang kini kita gunakan iaitu Sarawak Pay dan Touch N Go,” ujarnya lagi

Setelah sebulan beroperasi katanya respons daripada pelanggan memberitahu Sehgar Mart banyak membantu memudahkan urusan mereka untuk membeli barangan dapur.

“Ada juga pengguna yang turut memberitahu mereka tidak berani untuk keluar ke pasar raya dalam tempoh ini, namun apabila adanya perkhidmatan kami ini.

“Ia memudahkan mereka senang untuk menempah barangan terus sampai di hadapan rumah mereka dan 50 peratus kini merupakan pelanggan yang telah pertama kali menggunakan khidmat kita.

“Selain itu, mereka juga berpuas hati dengan kesegaran, keadaan dan kuantiti barangan yang kami bekalkan kerana mereka memberi tahu harga yang kami tawarkan di sini berpatutan dan lebih kurang sama jika keluar membeli di pasar,” jelasnya lagi .

Apabila melibatkan penghantaran pula Nur Fitri sentiasa mengingatkan pelanggan untuk menyediakan bekas atau baku khas bagi penghantar barangan dapat meletakkan tempahan mereka.

“Sehgar Mart ini dibuka selama 24 jam 7 hari seminggu dan untuk sehari sahaja secara purata kita menerima tempahan lebih 15 ke 30 rumah tidak seperti pertama kali dahulu hanya sembilan rumah dan paling jauh pernah kami hantar ke Samarahan dan Serian.

“Penghantaran hanya pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat jadi bermakna pelanggan boleh buah tempah barangan dapur mereka setiap hari dari WhatApp, Telegram atau laman sesawang https:// sehgarhq.yzza.io/n7ye.

“Masa penghantaran juga perlu tepat kerana kami hadkan 30 ke 32 tempahan dapat dihantar sehari, dan selebihnya untuk hari seterusnya,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memastikan bekalan barangan memang segar pihaknya juga memang menempah terus dari para nelayan misalnya untuk hasil tangkapan ikan sebelum menghantar terus bekalan barang kepada pelanggan.

Nur Fitri turut mengambil kesempatan untuk mengalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan Sehgar Mart bagi mendapatkan bekalan seharian tanpa perlu keluar rumah dan menjimatkan kos.

“Sehgar Mart merupakan platform yang memudahkan semua mendapatkan bekalan yang diyakini halal, suci dan bersih dari segar dari ladang terus ke dapur pelanggan, dalam tempoh PKP ini, bersama #kitajagakita dan negara bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini,” jelasnya.