KUCHING: Program Derma Darah ‘Setitis Darah, Seribu Harapan’ Tahun 2026 yang dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan menderma darah, selain membantu memastikan bekalan darah di hospital sentiasa mencukupi.
ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan kerana setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan rawatan.
Menurut beliau, bekalan darah amat diperlukan bagi membantu pesakit kecemasan, mangsa kemalangan, ibu bersalin serta mereka yang sedang menjalani rawatan penyakit kronik.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu menambah bekalan darah, malah memupuk semangat kesukarelawanan, keprihatinan dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program Derma Darah ‘Setitis Darah, Seribu Harapan’ Tahun 2026 di Dewan PPD Meradong, Bintangor, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, Unit Tabung Darah Hospital Sarikei, Pusat Khidmat DUN Meradong serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
Ding berkata, komitmen warga pendidikan dan masyarakat setempat yang tampil sebagai penderma darah mencerminkan semangat perpaduan, keprihatinan serta tanggungjawab sosial yang tinggi dalam membantu golongan memerlukan.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai individu tampil menjadi penderma darah tetap, manakala program seumpama ini diteruskan secara berkala bagi memastikan bekalan darah negara sentiasa berada pada tahap mencukupi.
Program anjuran AKRAB PPD Meradong dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei serta Pusat Khidmat DUN N.46 Meradong itu diakhiri dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Datuk Ding Kuong Hiing.


