MUKAH: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang siap awal mendahului jadual membantu melancarkan perancangan pembangunan di sesebuah kawasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tellian Royston Valentine berkata, ia merupakan bonus kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.
“Saya memuji usaha kontraktor kerana menyiapkan lebih awal dan agensi pelaksana ataupun agensi teknikal yang sentiasa memantau dan memastikan projek dirancang serta dilaksanakan ini berjalan dengan lancar.
“Tidak lupa juga kepada Pejabat Daerah Mukah kerana turut membantu memantau projek RTP yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menjadi saksi penyerahan tapak projek naik taraf Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) ST. Patrick Mukah, di sini, semalam.
Jelas Royston, projek yang siap awal ini melibatkan kos berjumlah RM100,000.
“Dengan adanya projek atau kemudahan seperti ini, kita berharap ia dapat digunakan oleh murid untuk pelbagai aktiviti di peringkat sekolah.
“Kita perlu berterima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), sekolah dan kontraktor yang berusaha membantu menyiapkannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas inisiatif peruntukan di bawah RTP ini yang banyak membantu keperluan penduduk terutamanya di kawasan luar bandar.
Royston berharap projek yang dilaksanakan pada masa akan datang dapat disiapkan awal.
“Jika tidak dapat disiapkan awal, sekurang-kurangnya mengikut jadual agar kita dapat memberi manfaat projek ini kepada semua masyarakat yang ada di sini,” tambahnya.


