TIDAK pernah bermimpi bakal menjadi jutawan dalam sekelip mata, namun kepercayaan utuh kepada pintu keberkatan berbakti kepada Tuhan membawa durian runtuh buat Pastor Jonatan Labo.
Pengerusi Sidang Injil Borneo (SIB) Daerah Ulu Trusan, Lawas itu malah tidak pernah terfikir sama sekali bahawa suatu hari akan terpilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP).
Warga emas berusia 62 tahun itu merupakan pemenang jutawan BSN SSP Ke-101, sekali gus merupakan pemenang keempat dari Sarawak sejak ia mula diperkenalkan.
Bahkan, beliau yang mula menyimpan sejak lima tahun lalu tidak pernah menyangka akan memenangi RM1 juta hasil daripada usahanya menabung secara konsisten dari tahun 2019 bermula dengan simpanan sebanyak RM10,000.
“Saya tidak pernah sama sekali terfikir memenangi wang sebanyak ini dalam seumur hidup saya. Kalau ada pun puji Tuhan saya ucapkan.
Kalau tiada pun saya tetap bersyukur dan senang hati dengan hidup saya.
“Namun apabila diberikan limpahan rezeki ini, saya tahu ia merupakan satu keberkatan dan rezeki daripada Tuhan,” kata bapa kepada tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan serta datuk kepada empat cucu itu.
Menzahirkan kesyukuran tidak terhingga atas limpahan rezeki tersebut, beliau meluahkan hasrat untuk menyumbang 10 peratus atau sebanyak RM100,000 daripada wang kemenangan itu kepada pihak gereja SIB pusat di Miri.
Menurutnya, niat menyimpan wang hasil daripada perniagaannya adalah untuk kegunaan masa hadapan, yang seterusnya dapat digunakan untuk menyumbang kepada pihak gereja selaras tanggungjawabnya memimpin dan menyatukan umat.
“Perkara pertama yang terlintas difikiran saya sebaik mendapat panggilan kemenangan ialah untuk menyumbangkan 10 peratus wang kemenangan kepada gereja pusat SIB.
Itu perkara utama yang akan saya tunaikan terlebih dahulu.
“Selepas itu, barulah saya memikirkan rancangan seterusnya kerana wang tersebut hanya akan diperoleh dalam tempoh 45 hari daripada tarikh cabutan kemenangan.
“Namun yang pasti, rezeki daripada Tuhan ini juga akan saya kongsikan dengan anakanak, adik-beradik serta saudara terdekat. Mereka semua turut berkongsi kegembiraan yang tidak pernah kami semua mimpikan ini,” katanya.
Beliau yang berketurunan Lun Bawang dan berasal dari Kampung Puru Sia, Trusan Lawas itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pemenang Jutawan BSN SSP Ke-101 dan Pemenang Cabutan Wilayah (Kereta Perodua Myvi 1.5) Bulan Jun 2024, di sini, semalam.
Di samping itu, beliau memberitahu akan turut melabur wang kemenangan tersebut kepada perniagaannya supaya hasil tersebut juga dapat dikongsikan kepada masyarakat melalui aktiviti berkaitan tugasnya sebagai pastor.
Mengimbas kembali detikdetik menerima panggilan kemenangan itu, beliau berkata pada mulanya beranggapan ia panggilan daripada sindiket penipuan atau scam yang seperti diketahui ramai semakin berleluasa dengan pelbagai taktik baharu.
“Panggilan pertama saya terima ialah pada 7 Julai lalu, namun disebabkan kampung saya tiada liputan telefon yang baik, saya seterusnya menerima mesej daripada mereka.
Tetapi ketika itu hati saya masih tertanya-tanya dan kurang percaya.
“Adakah ini benar-benar?
Bukan penipuan?
Begitulah saya berkata kepada diri sendiri kerana masih ragu-ragu.
Dan untuk mendapatkan kepastian, kemudian pada 9 Julai saya pergi ke BSN Cawangan Lawas.
Apabila ia disahkan sendiri oleh pihak bank, barulah saya berasa senang hati dan memanjat kesyukuran tidak terhingga.
“Ia disebabkan juga simpanan saya juga di BSN cawangan berkenaan.
Ia merupakan yang terdekat untuk kami di kawasan Trusan, itu pun memakan perjalanan sekitar lebih tiga jam untuk sampai dengan melalui jalan balak dari kampung saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya membuat simpanan dalam BSN SSP supaya berpeluang menyertai cabutan dan memenangi pelbagai hadiah yang lumayan
. Isteri Jonatan, Sinang Kuyad, 65, suri rumah yang berasal dari Long Semadoh, Trusan yang turut memanjat kesyukuran dengan rezeki tersebut berkata wang kemenangan itu akan digunakan ke jalan yang sepatutnya.
“Kami anggap ini berkat daripada Tuhan dengan suami menjalankan kerja dan tanggungjawabnya sebagai seorang pastor.
Justeru, memang menjadi niat kami memberi balik hasil tersebut untuk aktiviti dan program berkaitan gereja.
“Untuk rancangan lain, kami akan bahagi antara anak-anak.
Mungkin ini Tuhan berikan kami satu modal untuk membuat sesuatu, berbakti kembali kepada masyarakat,” ujarnya.
Sementara bagi Peter Ngumbang Guyu, 60, pesara anggota bomba yang memenangi sebuah kereta perodua Myvi berkata sangat terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak BSN.
“Ia satu panggilan yang tidak pernah disangka, dan saya sebenarnya masih terkejut dengan kemenangan tersebut.
“Malah saya fikir saya menerima panggilan telefon sindiket penipuan kerana tiga kali panggilan daripada nombor tidak diketahui dan saya tidak berani jawab.
“Kemudian saya terima mesej dan memang itu nombor daripada pihak BSN
. Jadi saya telefon semula, ketika itu pun saya masih tidak percaya kerana mereka meminta nombor empat digit terakhir kad pengenalan saya.
“Sehinggalah sampai ke BSN Cawangan Satok, barulah saya percaya memang saya adalah salah seorang pemenang,” kata pesara yang berasal dari Betong itu.
Beliau yang kini menetap di Kota Samarahan kemudian berkata, kemenangan kereta tersebut umpama hadiah hari lahir awal buat dirinya
. “Walaupun saya lahir pada 3 September, tapi ia umpama hadiah hari lahir awal dengan hadiah sebuah kereta. Ini merupakan kereta keenam untuk keluarga saya dan ia akan digunakan oleh saya sendiri kelak,” tambahnya.
BSN SSP menawarkan kebaikan tiga dalam satu; menyimpan, menang hadiah dan peroleh kadar keuntungan simpanan menarik sehingga 2.50 peratus setahun melalui BSN SSP Platinum dengan simpanan minimum RM3,000 dengan tempoh kempen tamat pada 31 Disember 2024.
Selain hadiah utama Cabutan Jutawan, BSN SSP juga mempunyai kategori lain yang turut menawarkan hadiah yang menarik iaitu Cabutan Bulanan, Cabutan Wilayah, Cabutan Penyimpan Muda, Cabutan Kesetiaan, Cabutan Penyimpan Baharu dan pelbagai.
Pada tahun lalu pula, seorang pesara guru berumur 61 tahun dan anak watan Song, telah dinobatkan sebagai jutawan cabutan BSN SSP bagi tahun 2023.
Beliau menyatakan permulaan simpanan adalah di Cawangan BSN Song, satu-satunya bank di sana.
Beliau kemudian terus menambah simpanan dari semasa ke semasa sehingga dinobatkan sebagai pemenang cabutan, sekali gus membawa pulang ganjaran RM1 juta.



