KUCHING: Pasukan kriket wanita Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila mereka berjaya membawa pulang pingat gangsa buat kontinjen tuan rumah menerusi acara T10 SUKMA XXI.
Pasukan tuan rumah, yang beraksi cemerlang ketika menentang Wilayah Persekutuan, memenangi perebutan tempat ketiga dengan kelebihan 25 larian dan memperoleh 68/8 berbanding 43/10 dicatatkan oleh pasukan lawan.
Pertembungan di Padang Kriket dan Ragbi Petra Jaya di sini menyaksikan pemain Sarawak, Aimuni Athiran, bermain cemerlang dengan 18 larian.
Manakala Wahida Amalia menyumbang dua wiket, Inderjith dan Syatirah Najwa masing-masing menyumbang satu wiket kepada kemenangan pasukan tuan rumah.
Walaupun acara yang pertama kali dipertandingkan itu menghadapi beberapa masalah dengan sebahagian besar perlawanan tidak dapat dilaksanakan ekoran hujan lebat, ia tidak mematahkan semangat Sarawak untuk membawa pulang pingat.
Menurut pengurus pasukan wanita T10, Nik Zirhaninin Uzir, pencapaian tersebut merupakan pembakar semangat untuk terus cemerlang dalam kejohanan akan datang.
“Masalah cuaca yang tidak mengizinkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, khususnya pada peringkat kumpulan, tidak mematahkan semangat kami untuk terus memperoleh kejayaan.
“Kami tetap bersyukur dan gembira dengan kemenangan hari ini, sekali gus menyumbang kepada kutipan pingat Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Sementara itu, pasukan Perak muncul juara untuk membawa pulang pingat emas.
Mereka menewaskan Selangor dengan kelebihan 51 larian dan nemperoleh 94/2 berbanding 43/4 dikutip skuad Selangor.
Untuk acara lelaki T10 pula, Perak mengalahkan Johor dengan kelebihan 34 larian untuk membawa pulang emas.
Johor yang memperoleh pingat perak tewas dengan 59/8 berbalas 93/5 oleh Perak.
Dalam pada itu, pasukan Terengganu memenangi pingat gangsa dengan kelebihan wiket dan memperoleh 81/3 berbanding 80/8 dicatatkan oleh Kedah.
Acara kriket pada temasya kali ini menawarkan sebanyak tiga pingat emas.
Ia menyaksikan Kelantan mucul juara acara T20, diikuti Sarawak yang membawa pulang pingat perak manakala gangsa milik Selangor.


