BINTULU: Pasukan petanque Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Sarawak Bahagian Bintulu meletakkan sasaran layak ke separuh akhir Kejohan Petanque Antara Bahagian Sukan MAKSAK Sarawak 2024 pada 23 hingga 25 Februari ini di Arena Petanque Jepak.
Setiausaha MAKSAK Bintulu Harun Hatta berkata, dua pasukan melibatkan 28 pemain akan menyahut cabaran Bintulu di kejohanan berkenaan.
“Sasaran awal ialah untuk memastikan MAKSAK Bintulu layak ke peringkat separuh akhir sebelum meletakkan sasaran ke atas kejuaraan. Dengan latihan intensif, saya mengharapkan semua atlet dapat memberikan cabaran.
“Pada masa sama, mereka bakal bersaing dengan pasukan yang memiliki atlet berpengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis jersi dan bendera MAKSAK kepada pengurus pasukan MAKSAK Bintulu, Ismawi Bujang di pekarangan Pejabat Residen Bahagian Bintulu, semalam.
Justeru, beliau mengharapkan atlet akan memberikan persembahan terbaik dan mencapai sasaran yang ditetapkan sekali gus melakar kejayaan buat Bintulu.
Dalam pada itu, Harun berkata sebanyak lima acara sukan dipertandingkan dalam Sukan MAKSAK Sarawak, antaranya bola sepak, golf, ragbi, petanque dan MAKSAK Idol dengan MAKSAK Bintulu dipilih sebagai tuan rumah untuk penganjuran kejohanan petanque.



