KUCHING: Pasukan PFA Odin mencipta sejarah tersendiri pada Kejohanan Bola Sepak Remaja Tertutup PETRONAS 2024 yang melabuhkan tirai malam tadi.
Mereka menjuarai dua kategori peringkat umur yang dipertandingkan, iaitu bawah 12 dan 16 tahun.
Skuad bawah 12 tahun PFA Odin muncul juara pada edisi kali ini selepas berjaya tipis untuk menyingkirkan pasukan dari Sri Aman, Datus United Junior, dengan jaringan 1-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-duanya terikat tanpa jaringan untuk masa sebenar permainan.
Manakala itu, skuad bawah 16 tahun PFA Odin memuktamadkan gelaran juara milik mereka selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas SMK Matang.
Ketua jurulatih bawah 16 rahun PFA Odin, Awang Jobli Awang Bidin, nyata gembira dengan kejayaan anak buahnya bergelar juara pada saingan kali ini.
“Syukur dah tahniah kepada semua pemain kerana berjaya memastikan kami bergelar juara pada edisi kali ini.
“Kejayaan ini hasil kerja keras semua pemain, dan yang pentingnya pemain telah berjaya menterjemah strategi yang telah diguna pakai sepanjang perlawanan,” ujar Awang Jobli.
Dalam pada itu, dua lagi kategori lain menyaksikan penguasaan pasukan berbeza.
Gelaran juara kategori bawah 14 tahun milik pasukan KDH Kuching yang menumpaskan PFA Odin dengan jaringan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan.
Pasukan Tambirat pula berjaya bergelar juara dalam kategori bawah 10 tahun selepas menumpaskan SJN Academy dengan jaringan 4-3, juga menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa penuh perlawanan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.
Beliau mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.


