MIRI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa pilihan raya akan datang mungkin menjadi yang terakhir baginya, berikutan faktor usia.
Beliau yang kini berusia 76 tahun berkata, walaupun masih mempunyai semangat dan tenaga untuk meneruskan perjuangan, faktor usia tidak boleh dilawan dan keputusan mengenai masa depan politiknya akan dibuat apabila tiba masanya.
“Saya terus terang, mungkin ini terakhir saya, sebab proses semula jadi.
Walaupun hati muda, tetapi saya akan buat keputusan bila masanya sampai,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, hari ini.
Bagaimanapun, Abang Johari menegaskan proses pemudaan kepemimpinan dalam PBB perlu diteruskan kerana pertukaran pemimpin merupakan lumrah.
PBB perlu memastikan golongan muda dilatih untuk mengambil alih kepemimpinan parti pada masa akan datang.
“Saya sekarang sudah 76 tahun. Baik nasib, masih ada tenaga.
Empat tahun lagi, saya berusia 80 tahun.
Kita terpaksa cari orang ganti dan kita mesti latih orang ganti.
“Orang ganti mesti dilatih, dari segi bagaimana perhubungannya dengan orang, bagaimana perhubungannya dengan masyarakat lain, bagaimana perhubungannya dengan agama lain supaya jangan toksik,” katanya.
Beliau berkata, beliau juga pernah diberi peluang untuk dilatih oleh pemimpin terdahulu sebelum mengambil tanggungjawab kepemimpinan, justeru proses yang sama perlu diteruskan untuk generasi muda dalam PBB.
“Jadi kita sekarang pun melatih yang muda-muda, sebab dalam pilihan raya kita mesti ada orang baru. Pilihan raya lepas kita ada orang baru termasuk orang muda,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari menggesa ahli PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memastikan sokongan rakyat terus kukuh bagi membolehkan pembangunan Sarawak diteruskan, khususnya di kawasan utara negeri.
Katanya, pencapaian pembangunan yang dapat dilihat di seluruh Sarawak perlu menjadi asas bagi PBB dan GPS memperoleh markah tinggi daripada rakyat dalam pilihan raya akan datang.
“Tuan-tuan boleh lihat apa yang berlaku di seluruh negeri Sarawak, terutama sekali di utara.
“Kalau tuan-tuan hendakkan yang terus membangun, PBB hendaklah mempunyai markah yang tinggi.
Rakan kita dalam GPS mesti mempunyai markah yang tinggi,” katanya.
Abang Johari turut yakin persediaan yang dilakukan PBB dan GPS mampu membolehkan gabungan itu memperoleh sokongan tinggi pada pilihan raya akan datang.


