ARTIKEL

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Datuk Dr Mohammad Razi Sitam serta tetamu lain menunjukkan produk air kelapa pada Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Parti PBB Cawangan Saribas di Dewan Perpaduan, Debak, hari ini. — Foto Osman Razali

PBB perlu terus perjuang masa depan generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu terus berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak serta masa depan generasi muda seiring dengan agenda pembangunan dan transformasi ekonomi Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendidikan merupakan pelaburan terbesar Kerajaan Sarawak bagi melahirkan modal insan berkualiti yang mampu memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

Beliau berkata, Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menggariskan hala tuju pembangunan berasaskan ekonomi baharu, termasuk ekonomi digital, ekonomi kitaran, industri teknologi tinggi dan penerokaan angkasa lepas.

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Dr Mohammad Razi Sitam menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) Projek Taman Agro Lubok Tamang oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) kepada kontraktor pada Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Parti PBB Cawangan Saribas di Dewan Perpaduan, Debak, hari ini. — Foto Osman Razali

“Transformasi ini menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang semakin signifikan.

“Bagi tempoh 2021 hingga 2025, Sarawak berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM117 bilion merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan dan perkhidmatan.

“Justeru, PBB perlu terus berada di barisan hadapan bagi memastikan hak serta kepentingan generasi muda sentiasa diperjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Parti PBB Cawangan Saribas di Dewan Perpaduan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Taman Agro Lubok Tamang di Saribas merupakan antara pelaburan strategik Kerajaan Sarawak bagi memperkasa ekonomi rakyat melalui sistem pertanian moden berasaskan teknologi.

Beliau berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan RM53.6 juta bagi membangunkan infrastruktur projek tersebut yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), tahun ini.

“Kita mahu membawa masyarakat menguasai sistem pertanian moden yang memanfaatkan teknologi, dengan memberi tumpuan kepada penanaman kelapa.

“Apabila projek ini berjaya, kita akan melaksanakan konsep kontrak perladangan (contract farming) kerana sudah ada syarikat peneraju (anchor company) yang akan memacu pembangunan projek ini.

“Ini adalah peluang kepada rakyat untuk menceburi pertanian moden, meningkatkan pendapatan isi rumah dan seterusnya membantu menghapuskan kemiskinan,” ujarnya.

Taman Agro Lubok Tamang merupakan inisiatif di bawah Projek Rakyat yang dijadual memulakan pelaksanaan tahun ini dengan kerja penanaman dilakukan dalam lima fasa sepanjang tempoh 20 bulan.

Projek pembangunan bersepadu seluas 763 hektar itu merangkumi kawasan pertanian, pusat pelancongan, pusat pemprosesan dan pengumpulan hasil serta kawasan pembangunan masa depan, dengan kelapa pandan dipilih sebagai tanaman utama.

Menerusi kerjasama strategik bersama Green Borneo Plantation Sdn Bhd (GBP), seluas 600 hektar kawasan akan diuruskan syarikat berkenaan, manakala 100 hektar lagi diperuntukkan kepada petani tempatan menerusi model pajakan dan perkongsian hasil.

Apabila siap kelak, projek tersebut dijangka mampu menghasilkan sehingga 10 juta biji kelapa setahun, sekali gus meningkatkan potensi eksport dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import kelapa.

Pada masa sama, pelaksanaannya dijangka memperkukuh ekosistem agropreneur tempatan melalui penyediaan peluang pekerjaan, latihan kemahiran serta penglibatan aktif masyarakat dalam amalan pertanian moden.

LCDA komited memastikan projek itu dilaksanakan mengikut perancangan selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memacu pembangunan ekonomi luar bandar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam; Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; ADUN Beting Maro, Datuk Razaili Gapor; dan ADUN Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan