KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyalurkan RM470.4 juta di bawah RMK12 untuk pelaksanaan projek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, daripada jumlah itu, 76 peratus telah digunakan untuk menaik taraf kemudahan komuniti, pengangkutan, kebersihan bandar dan program kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan memastikan setiap sen peruntukan diterjemahkan kepada projek yang memberi manfaat langsung kepada komuniti.
“Prestasi ini menunjukkan keberkesanan PBT dalam melaksanakan pembangunan fizikal dan sosial di peringkat akar umbi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Ujarnya, sejumlah 230 projek rakyat bernilai RM862.3 juta telah dilaksanakan, manakala 6,984 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) diluluskan sejak 2015.
“Setakat ini, 91 peratus RTP telah siap sepenuhnya, menzahirkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar.
“Program ini membabitkan pelbagai projek asas, termasuk jalan kampung, longkang, pasar dan fasiliti komuniti,” katanya lagi.
Katanya, sebanyak RM283.2 juta diperuntukkan melalui Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) untuk penyelenggaraan jalan PBT, termasuk jalan, longkang dan komponen berkaitan.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek strategik Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) melibatkan nilai RM1.17 bilion, memberi tumpuan kepada kemudahan asas luar bandar, jalan kampung dan jambatan kecil.
“Setakat ini, pihak berkuasa tempatan telah berjaya menyiapkan 6,353 projek, iaitu bersamaan 91% daripada keseluruhan projek yang diluluskan.
“Pada tahun 2025, pihak berkuasa tempatan telah diperuntukkan RM122 juta bagi melaksanakan 858 projek, yang kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan,” jelasnya.
Menjelas lanjut katanya, kerajaan juga telah melaksanakan 226 program komuniti di bawah inisiatif komuniti SMART, merangkumi gotong-royong, keselamatan, pendidikan komuniti dan pengurusan sisa pepejal.
“Program ini bertujuan memperkukuh komuniti berdaya saing dan menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” jelas beliau.
“Setiap projek komuniti memberi impak positif terhadap kesejahteraan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan sosial,” tambahnya.
Katanya, Sarawak mencatat prestasi tinggi dalam Pelan Tindakan Bandar Berasaskan SDG, mengatasi purata nasional sebanyak 43 peratus yang mana di Kuching mencatat 67 peratus, manakala PBT lain antara 52 hingga 60 peratus.
“Sehingga kini, 17 PBT telah meraih status mampan, menunjukkan pencapaian pesat dalam pembangunan bandar mampan dan berdaya saing.
“Kami komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui ISO 9001:2015 dan pendigitalan perkhidmatan PBT
“25 jenis lesen perniagaan kini boleh diperbaharui secara dalam talian melalui sistem e-LA2,” tambahnya lagi.
Sarawak juga menekankan pembangunan bandar mesra kanak-kanak dan warga emas, melalui program Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) dan Bandar Mesra Warga Emas.
“Inisiatif ini memastikan bandar selamat, inklusif dan mesra keluarga serta memberi akses kepada bukan sekadar kanak-kanak dan warga emas malah kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU),” jelas beliau.
Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan PBT dijalankan secara tersusun, berkualiti dan berpusatkan rakyat, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

