BINTULU: Parti Demokratik Progresif (PDP) menerusi Pergerakan Wanita dan Pemuda PDP Samalaju tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah Panjang Padang Maleng, Batu 37, Jalan Bintulu-Miri, sebagai usaha meringankan beban penduduk yang terjejas dalam insiden tersebut.
Ketua Penerangan Exco Wanita PDP Nasional, Hellen Anbi berkata bantuan berupa barangan keperluan harian dan perkakas asas itu disumbangkan oleh Exco Pergerakan Wanita PDP Negeri bersama ahli jawatankuasa PDP Samalaju sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa yang kehilangan tempat tinggal.
Menurut beliau, lawatan kebajikan yang diadakan turut membolehkan pihaknya menilai keperluan semasa penduduk yang masih berada dalam penempatan sementara.
Katanya, walaupun bekalan makanan kini mencukupi, penduduk masih memerlukan beberapa kemudahan asas termasuk kanopi sebagai tempat perlindungan sementara, tong gas dan sistem tenaga solar untuk kegunaan bilik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ketika ini tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Sebahagian mangsa kini ditempatkan sementara di sebuah gereja. Namun, ruang yang terhad menyebabkan dua keluarga terpaksa bermalam di luar gereja dengan hanya beralaskan tikar,” katanya.
Hellen berkata, perkara itu dimaklumkan kepada pegawai khas Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing serta Ketua Pemuda PDP Nasional bagi membolehkan bantuan susulan diselaraskan dalam masa terdekat.
Beliau berkata sokongan yang diberikan oleh kepimpinan parti dan anggota akar umbi PDP mencerminkan komitmen berterusan parti dalam membantu masyarakat setempat yang berdepan musibah.


