KUCHING: Hujan lebat ternyata tidak melunturkan semangat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak menyambut Peringatan Hari Polis Ke-216, di sini hari ini.
Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 ini diadakan di pekarangan padang kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dengan mengekalkan tema ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak, SAC Lukas Aket turut hadir menyempurnakan perhimpunan tersebut serta menyampaikan perutusan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Acryl melalui perutusan berkata, menginjak ke usia 216 tahun penubuhannya, PDRM kekal berdiri megah serta ampuh sebagai agensi penguat kuasa tertua dan terulung negara.
“Saban tahun, tanggal keramat 25 Mac disambut bagi mengangkat jasa dan pengorbanan wira-wira PDRM yang telah gugur di medan bakti, demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan setiap inci tanah bertuah ini daripada ancaman musuh.

“Berlandaskan amanah dan nawaitu perjuangan yang sama, pengorbanan wira-wira terdahulu akan diteruskan oleh generasi pada hari ini, meskipun setiap peredaran zaman menjanjikan cabaran yang berbeza,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh warga PDRM untuk memperbaharui ikrar taat setia kepada Raja dan Negara, menjunjung Perlembagaan Undang-Undang, serta terus beristiqamah dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Malaysia atas segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada PDRM selama ini.
“Jalinan akrab ahli masyarakat sebagai rakan strategik terpenting PDRM, telah membantu Pasukan dalam usaha mencegah jenayah.
“Justeru, konsep Kepolisan Masyarakat akan terus diperteguh bagi melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab ke arah matlamat mewujudkan persekitaran sifar jenayah di negara ini, seiring dengan tema ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ yang terus dikekalkan pada sambutan Hari Polis kali ini,” ujarnya.

Katanya lagi, PDRM juga menzahirkan penghargaan tertinggi kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, pasukan-pasukan sahabat serta semua pihak yang sentiasa menyokong PDRM selama ini.
Pada majlis yang sama, Lukas turut menyampaikan Anugerah Integriti PDRM Kontinjen Sarawak kepada enam orang penerima dan Sijil Penghargaan Pesuruhjaya Polis Sarawak kepada 41 orang penerima.
