KUCHING: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak bersama pegawai kanan PDRM IPK Sarawak dan IPD Kuching telah hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi menyambut ketibaan Bantuan Sumber Manusia (BSM) yang pulang dari penugasan sempena Pilihanraya Negeri Sabah 2025 (PRN Sabah).
Penerbangan pertama MH8657 dari Kota Kinabalu ke Kuching tiba pada jam 5.10 petang semalam membawa seramai 274 anggota BSM.
Ketibaan mereka disusuli oleh penerbangan kedua MH8647 yang mendarat pada jam 7.50 malam dengan 277 anggota.
Sementara itu, penerbangan MH8637 dari Kota Kinabalu ke Sibu membawa seramai 173 anggota dan tiba pada jam 7.20 malam.
Saifullizan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua anggota BSM atas komitmen, disiplin dan kejayaan melaksanakan tugas sepanjang penugasan di Sabah.
Keseluruhan proses ketibaan berjalan lancar, teratur dan tanpa sebarang insiden, hasil kerjasama padu semua elemen operasi, logistik dan pentadbiran.
Turut hadir menyambut ketibaan ialah SAC Rizal Abd Rahman Sidek, ACP Alexson Naga Chabu, ACP James Jonathan, serta pegawai kanan lain daripada pelbagai jabatan termasuk PGU Pangkalan Sarawak, PULAPOL Kuching dan Jabatan Pengurusan Sarawak. – TVS


