KUCHING: Pegawai-pegawai Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) dan anak syarikatnya yang terlibat dalam pengurusan aduan, pengesanan serta pengesahan, menyertai Kursus Pemantapan Pelaksanaan Teras Unit Integriti.
Ia bertujuan memantapkan persediaan Pusaka ke arah pelaksanaan perkhidmatan aduan etika.
Selain sebagai pendedahan awal kepada semua pegawai gred 41 ke atas dan anggota Seksyen Integriti yang terlibat dalam pengurusan aduan serta pengesanan dan pengesahan.
Kursus selama dua hari di salah sebuah hotel terkemuka dekat ibu negeri dianjurkan Bahagian Pengurusan Risiko dan Integriti PUSAKA dengan kerjasama Seksyen Pengurusan Sumber Manusia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebanyak 58 peserta peringkat pengurusan, anggota Bahagian Pengurusan Risiko dan Integriti dan pegawai seranta integriti termasuk anak-anak syarikat Pusaka menyertai kursus ini.
Mereka didedahkan dengan ceramah berkaitan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), Tatacara Pelaksanaan Fungsi Pengurusan Aduan Etika serta Tatacara Pelaksanaan Fungsi Pengesanan dan Pengesahan, disusuli perbincangan kumpulan dan latih amal.
Ia dikendalikan tiga penceramah iaitu Penolong Pesuruhjaya Mohamad Nizam Kalam, Penguasa Kanan Siti Zaharah Alias dan Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohamad Safari Abdullah
Pengurus Besar Pusaka Zainal Abidin Abdullah semasa menyempurnakan perasmian kursus mengharapkan platform ini dapat meningkatkan kefahaman kakitangan mengenai pelaksanaan aduan serta pengesanan dan pengesahan supaya lebih teratur dan sistematik.


