KUCHING: Majlis Pelancaran Pejabat We Care Asia menandakan permulaan kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam bidang penjagaan kesihatan, pelancongan, pelaburan dan pembangunan ekonomi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, sektor penjagaan kesihatan berkembang melangkaui peranan tradisional dalam merawat penyakit.
“Bidang ini menjadi sektor ekonomi penting yang merangsang pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan asing serta menggalakkan kerjasama antarabangsa.

“Salah satu sumbangan We Care Asia ialah meningkatkan jumlah pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital di Sarawak.
“Dengan rangkaian serantau yang luas serta kerjasama strategik dalam bidang penjagaan kesihatan, We Care Asia mempunyai keupayaan untuk menghubungkan pesakit dari luar negara dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti yang tersedia di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng pada Majlis Pelancaran Pejabat We Care Asia di Kenny Hill Residence di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, kesan positif yang diperoleh melangkaui sektor hospital sekiranya lebih ramai pesakit antarabangsa memilih Sarawak sebagai destinasi untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Sekali gus, selari dengan aspirasi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) untuk mempelbagaikan tawaran pelancongan serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan perubatan, kesejahteraan dan kebudayaan.
Dalam perkembangan sama, Dr. Sim menambah bahawa acara tersebut berjaya direalisasikan hasil sokongan dan kerjasama kukuh daripada Hospital Kanser Moden Guangzhou, Pejabat Malaysia.


