HAMPIR sebulan dewan kecil di pinggir kota itu dihadiri penggiat teater. Lewat petang baru mereka bersurai. Di situlah Siti Safura atau lebih mesra dengan panggilan “Siti”, meraikan waktu dengan rakan-rakan sepentas teaternya. Siti diamanahkan sebagai pendukung watak Suria, sementara watak teman bicaranya, Malim menjadi Budiman atau Budi.
*****
“Kalau kau ingin diiktiraf sebagai pembela, lantaran kau dulu pernah bersumpah setia dan berduka nestapa selama 42 purnama sebagai pencari ilmu di menara akademia itu, nah, sekaranglah masanya kau perlu melenyapkan kegusaran rakyat. Bukan begitu, Budi?” Bicara Suria kepada Budi itu dilanjutkan.
“Bukan keluhan yang harus kau kongsikan kepada pengikutmu. Suatu ketika dulu kau dikhayalkan dengan kalimat puja dan puji. Kau mahu menjadi manusia unggul! Itulah perkara yang pernah kau bisikkan ke telingaku, lama dulu waktu kita dibuai keintiman.”
“Kau ingat lagi detik itu, Budi?” Tanpa mendengar jawapan, Suria melanjutkan lagi, “Selama bertahun-tahun aku sentiasa mengingati teman-teman sekuliah dulu. Cuma dengan kau, ingatan itu aneh. Kau mengundang dan menyimpan rapi pelbagai persoalan. Lebih mengharukan, kau kini sudah jauh berubah. Berdirilah di hadapan cermin dan renung mukamu, Budi.”
“Kau harus cepat sedar bahawa kau bukan juara, juga bukan idealis. Selama bertahun-tahun aku mendampingi perjuanganmu, kini baru jelas siapa kau yang sebenarnya. Kau bukanlah pejuang tulen kerana kau yang kuperhatikan cepat menggelabah kala mendepani cabaran. Betul begitu, Budi?”
Giliran Budi membalas bebelan Suria. “Aku sedar, aku bukan juara. Aku juga bukan idealis. Kalau ya, itu hanya cerita lama, mirip sebuah dongeng! Kalau bukan dongeng tradisi, mungkin dongeng moden. Aku yang kau hadapi saat ini tidak memiliki ciri-ciri lelaki atau sahabat yang unggul. Tolonglah, Suria. Kau harus faham, perjuanganku tidak cocok lagi pada dekad ini. Banyak yang sudah berubah, Suria.”
“Itu cuma alasan kau, Budi. Waktu jangan dipersalahkan. Kita diberikan akal, lalu akallah yang sepatutnya sentiasa menentukan diri kita berada dalam situasi yang akur kepada perubahan sekeliling. Budi, Budi, di mana nilai kecendekiaan yang kau kejar dulu?”
“Kau menghina aku ya, Suria!” Nada suara Budi terkesan oleh suaranya yang tertelan.
“Aku tidak bermaksud menghina kau, kawan. Kalau kau merasakan kata-kata tadi penghinaan, itu tandanya segala tanggapanku betul. Mengaku sajalah, Budi!”
“Kau masih ingat, fail-fail di kamar kerjamu itu turut menyimpan segala harapan dan impian rakyat, yang mahu melihat perjuangan kau berhasil. Ingat lagi tak? Kalau kau begitu cepat melupakan hal itu, bermakna kau benar-benar bukan pejuang tulen. Kau tidak beramanah kepada anak bangsa!”
“Kenapa kau mengucapkan kata-kata itu, Suria? Aku hanya pegawai bawahan. Tidak bertanggungjawabkah aku? Kau buat aku bingung! Suria, lupakan saja persoalan ini. Mari kita singkap sejarah silam kita.”
“Sejarah silam kita sudah kupadam! Upaya kau memerangkap aku ke dalam sangkar hidupmu sudah lama berlalu! Mengerti? Kita mesti kembali kepada persoalan pokok. Jangan cuba nak ungkit lagi kisah-kisah dulu. Ah, zaman di kampus zaman cinta monyet saja tau!”
“Apa sebenarnya persoalan pokok yang kita hadapi?”
“Astagfirullah! Kau memang brengsek, Budi! Betul-betul brengsek!”
“Aduh, jangan sampai mengatakan aku begitu. Sampai hatimu, Suria.”
“Ya, namamu yang cantik itu tak sepadan dengan segala yang kau lakukan selama ini. Seorang pejuang seharusnya budiman. Namun, kau hanya budiman pada nama! Ini bukan menyinggung peribadi, tetapi tulus ke dasar benak kau!”
“Begitu sekali kau mempersenda namaku. Barangkali tidak begini halnya andai kita sempat memadu rasa, menjalin kata sepakat dulu. Suria, sudah lupakah peristiwa lama itu?”
“Lagi-lagi kau cuba menyebut hal itu. Namaku Siti Suria Mohd. Yusof. Namaku ketika lahir ialah Siti Suria binti Abdul Hamid. Mohd. Yusof suamiku. Tak faham-faham lagi, Budi? Aku ke sini semata-mata mahu menyedarkan kau, yang mengaku pejuang. Nah, sekaranglah masanya. Tentanglah suara lantang yang cuba menafikan hak kita. Bangunlah!”
“Suara aku tak laku lagi, Suria. Zaman sudah berubah. Aku kini hanya layak bercakap di tepi jalan, di kedai makan. Kalau berpeluang menulis pun, sekadar di pojok akhbar! Inilah nasib orang yang terpinggir oleh perubahan. Tidak simpatikah kau kepadaku, Suria?”
“Budi, kau sebenarnya alpa kepada sumpah setia kau dulu. Ilmu yang kau tuntut dulu bukanlah jalan ke arah kemewahan. Kalau hakikat itu ada dalam hatimu, ternyata kau rupa-rupanya setaraf dengan manusia yang streotaip di luar sana.”
“Seorang pejuang, menurut kau, orang yang memanfaatkan ilmunya untuk kesejahteraan masyarakat. Tetapi kau Budi, rupa-rupanya berjuang untuk kesejahteraan perut sendiri dan perut insan kelilingmu!”
“Maksud kau, Suria, Puan Siti Suria?”
“Begini ya. Kau tergila-gila, sampai berhenti kerja, mahu menambah ilmu dulu untuk apa? Orang ke universiti, kau juga ke universiti. Tetapi matlamat kau hanya mahu hidup mewah!”
“Jangan prejudis! Itu hanya matlamat kesepuluh! Ada sembilan matlamat lagi, itulah matlamat untuk mengisi agenda perjuangan. Perjuangan untuk menegakkan hak kita, hak anak cucu kita nanti!”
“Perjuangan! Perjuangan! Kau hanya pandai menuturkannya, sedangkan hakikatnya tidak pernah kau dalami. Kononnya kau mahu dikenali sebagai intelek. Intelek apa kalau hanya leka dengan hobi bertukar-tukar kereta! Intelek apa itu? Cuba jelaskan. Hipokrit! Kau tidak jujur, Budi!”
“Suria, fahamilah situasi aku sekarang. Pilihlah kata-kata yang lebih lunak, lebih murni. Kau sanggup memperkecil sahabat suamimu sendiri. Sampai hatimu. Kau seharusnya menjadi lambang kelembutan anak desa yang mesra dengan kekotoran selut bendang dan betah dengan kedinginan pagi kebun getah, leka diliburkan kemerduan kicauan burung yang menyerikan belukar di pinggir sungai! Seharusnya kau begitu, Suria.”
“Ah, aku bosan dengan klise yang kau sebut itu. Pokoknya, yang aku amat-amati, kau telah tergelincir daripada landasan perjuangan! Rakyat marhaen penuh mengharap, manakala orang yang mengaku dirinya pejuang menikmati longgokan kemewahan. Sudahlah, Budi!”
“Apa yang hendak kuperjuangkan lagi? Lihatlah sekeliling. Semuanya sudah selesai. Beres semuanya. Rakyat hidup sejahtera! Bahkan, kau tentu tahu, pemimpin tetap tidak duduk diam. Ke sana ke sini, ke mana-mana. Bertemu, berucap, berseru, berdialog, berjanji dan bermacam-macam ber! Semuanya bekerja untuk kesejahteraan rakyat, tau!”
“Berpura-pura macam kau!!”
“Suria!! Kau datang ke sini cuma untuk menyakiti aku! Kau menikamku sampai ke tulang hitam?”
“Memang, aku datang berjumpa dengan kau di sini untuk menikam kau yang alpa! Biar kautahu erti kesakitan dan ini akan menginsafkan dirimu! Kealpaanmu jangan sampai kau dikutuk seluruh rakyat! Ingat Budi, tugasmu berat sebenarnya.”
“Jangan sampai suatu hari nanti, kawan-kawan kita mengatakan kau oportunis. Kau lari daripada perjuangan. Atau, kalau mereka terlalu marah, mungkin ada yang mahu menikam kau dari belakang! Aku masih bersedia menyalurkan protes dengan cara diplomasi ini.”
“Terima kasih, Suria. Ya, sahabat memang payah ditemukan. Kau mendorong aku berfikir, mengingatkan aku supaya tidak lupa diri. Terima kasih sahabatku.”
*****
Jeda seketika. Di bawah pentas, Syed Ali, yang mesra disapa oleh ahli Grup Teater Merdeka sebagai ‘Bung’, sedang menulis sesuatu pada skrip. Dua pelakon di pentas berdiri tidak jauh dari Bung, bersedia untuk mendengar komen. Senyap lagi. Bung belum berhenti mencoret sesuatu pada skrip di tangannya. Skrip itu akhirnya berselirat dengan tulisan berdakwat merah, bercampur dengan teks bertaip sedia ada.
“Beginilah … ,” Syed Ali memulakan komennya, melanjutkan, “Ujaran dialognya jangan terlalu laju, takut penonton hilang punca nanti. Err …. mimik muka Malim tak jelas. Tunjukkan betul-betul, biar nampak mood marah masa kau ucapkan, “Suria, kau datang ke sini cuma untuk menyakiti aku!””
“Tetapi saya rasa dialog ini sendiri kabur, Bung. Saya tak yakin yang audiens mengerti apa yang saya lontarkan,” luah Malim, pembawa watak Budi dalam pementasan dua babak itu.
Syed Ali tersenyum mendengar maklum balas Malim, mengangguk tanda bersetuju dengan pandangan pelakonnya.
“Skrip kita ‘ni belum selesai, Malim, Siti,” jelas Syed Ali. “Lagipun kita sengaja nak timbulkan suasana supaya audiens berfikir. Ingat budaya berfikir? Siapa tokoh akademik yang bercakap fasal budaya berfikir ini dulu?”
“Almarhum Ungku Aziz,” jawab Siti Safura pantas, lantas tersenyum kepada Syed Ali. “Selama ini kita lebih bersikap menerima saja semuanya. Memberi cuma sekali-sekala. Itupun apabila terdesak, apabila tersepit!”
Begitu bersungguh-sungguh Syed Ali memperkatakan hal itu.
“Siapa yang mendesak? Siapa pula yang menyepit, Bung?” Malim kian berminat untuk mengetahui persoalan yang diujarkan oleh Syed Ali tadi. Dia merapati Syed Ali, kemudian duduk bersila dengan tangan menupang dagu, sambil mendongak memandang tepat ke arah sutradara itu. Siti meniru gelagat Malim.
Saat itu, Syed Ali masih memikirkan sesuatu. Suasana pengap dalam dewan kecil itu terasa membosankan. Memang membosankan! Itulah yang dialami oleh ahli-ahli Grup Teater Merdeka setiap kali menjalani latihan.
“Memang ada yang mendesak dan ada yang menyepit,” Syed Ali bagaikan berseloroh dengan diksi, sementara Malim yang duduk di lantai, menggaru-garu kepalanya. “Ada yang mendesak meminta para pejuang seperti kita berundur. Mereka takut sebenarnya. Mereka tahu, perjuangan kita selama ini sudah berhasil. Ada yang telah kita daulatkan. Yang berdaulat telah kita kembangkan, kita perkayakan!”
Syed Ali diam sejenak usai berkata-kata. Siti yang ketika itu resah tiba-tiba memandang Malim. Sambil mengangkat bahu dan menjuihkan bibirnya, Siti menunjuk ke arah jam di puncak pentas. Terasa ringan saja kakinya untuk melangkah pulang.
“Bung maksudkan, perjuangan memajukan diri dalam semua segi?” Tiba-tiba Malim menghadirkan pertanyaan. Syed Ali tersenyum lebar. “Yalah, apa lagi!” Siti pula menjawab, seolah-olah mewakili Syed Ali. Harapannya agar dengan menyokong bicara sutradara, sesi latihan petang itu akan segera diakhiri. Terngiang-ngiang pesanan Mior, suaminya yang meminta dia pulang cepat selepas latihan teater itu.
“Jadi, apa komen kamu berdua tentang babak pertama tadi?”
“Siapa yang Bung maksudkan ‘pejuang’ itu?” Malim mahu melenyapkan kekeliruan antara skrip dengan realiti di luar.
“Kita semualah,” terang Syed Ali. “Budi mewakili kita semua. Budi ialah juara di antara sekian banyak pejuang. Tetapi dia pejuang yang telah ditewaskan oleh pelbagai pengaruh luar.”
“Apa pula peranan Suria tadi?” Siti berbasa-basi dalam situasi petang yang kian lanjut.
“Suria ialah lambang insan yang berjiwa merdeka. Mindanya bernas, kritis serta kreatif, sesekali ironis. Dalam dirinya tidak ada lagi budaya ‘mak turut’ tidak ada lagi sikap tak apa. Semuanya berubah mengikut keperluan zaman. Ya, itulah Suria.” Syed Ali tidak terus mengakhiri celotehnya, sebaliknya berkata, “Suria telah mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan empayar Melaka!”
“Jadi, dalam teater kita, Surialah yang sepatutnya pejuang, bukan Budi?”
“Begini sebenarnya. Budi disuruh menuntut ilmu supaya menjadi warganegara yang berkesan. Dia ingin menjadi pejuang tulen yang menegakkan maruah bangsa, mengisi kemerdekaan dengan bakti termasuk bakti kepada bahasa, budaya kita yang sejati. Sayangnya Budi, nama saja gah, tetapi tanggungjawabnya terabai. Lalu Suria bertindak menyedarkan Budi.”
“Faham, faham, faham!” Kuatnya suara Siti ketika memberikan respons sehingga mengejutkan Syed Ali dan Malim.
“Bagus, bagus!” Syed Ali berdiri, menepuk-nepuk fail merahnya. “Siti benar-benar menjiwai watak Suria. Berani, memang itu yang diharapkan!”
“Bagus, syabas! Suria dalam teater kita lambang insan yang progresif, tidak gentar menghadapi kenyataan,” rumus Syed Ali.
“Terima kasih,” jawab Siti, selamba.
“Babak kedua nanti, watak Suria perlu lebih lantang lagi suaranya. Siti perlu menjadi Suria yang betul-betul berani. Suria akan menyertai kumpulan pendesak,” beritahu Syed Ali, mengingatkan Siti tentang peranannya dalam latihan yang akan disambung esok.
“Esok, esok sajalah, Bung. Saya perlu cepat pulang ‘ni!” Siti sudah tidak sabar lagi.
“Props semua dah siap. Pelakon lain juga dah diberitahu tentang latihan petang esok. Semua poster juga dah siap,” Malim melaporkan.
“Tapi Bung, mesej teater kita ‘ni tak terkait dengan sesiapa?”
“Kita hanya khabarkan sesuatu yang wujud, bukan direka,” jawab Siti, dalam nada tegas. “Kalau takut, duduk di bawah tempurung!” ujar Siti lagi. Syed Ali tersenyum mendengar respons yang bernada kecindan itu.
“Okeylah, latihan esok yang terakhir untuk minggu ini. Minggu depan kita buat raptai penuh kedua-dua babak. Khabarnya, ada siswa dari kampus di Lembah Pantai nak datang menyaksikan teater kita,” ujar Syed Ali.
*****
Petang yang meletihkan itu kian lenyap dalam kebanggaan yang bertunas di lubuk jiwa Siti. Saat-saat dia melangkah keluar dari dewan kecil di pinggir kota itu, dia membayangkan Mior di rumah dengan buah hati mereka sedang tertunggu-tunggu kepulangannya. Mujurlah Mior suami yang penyabar, sementara dia, isteri yang tetap setia!
Dalam sinaran lampu neon senja di sepanjang jalan menuju ke Taman Alam Lestari, Siti terasa dipagut debaran meskipun berada dalam kenyamanan kereta.
“Teman-teman pelakon itukah yang melekakan hidupku, sehingga kealpaan seperti mengetuk-ngetuk benakku. Apakah Mior sedar hal ini? Apakah Siti Salwa dan Siti Sarah perasan?” Bisikan yang dibawa oleh bayu malam ketika melangkah masuk ke rumah segera ditepis oleh Siti Safura.



