USAHA menarik minat generasi muda untuk mendalami bidang penulisan dan kesusasteraan kini menjadi fokus utama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) bagi memastikan legasi persuratan tanah air terus subur dan kekal relevan dalam arus pemodenan.
Menginjak usia dua dekad, persatuan itu mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pelbagai strategi baharu, termasuk mengoptimumkan penggunaan platform media sosial, melaksanakan program turun ke sekolah serta mencalonkan penggiat muda yang berpotensi untuk menerima anugerah sastera sebagai pembakar semangat kepada generasi pelapis di Sarawak.
Komitmen untuk memperkasakan bakat muda itu turut ditegaskan sempena penganjuran Mesyuarat Agung Ke-20 PEKASA yang berlangsung dalam suasana muhibah di sebuah hotel di Kuching pada 16 September lalu.
Bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia, perhimpunan itu berjaya menghimpunkan seramai 45 ahli yang bersama-sama membincangkan hala tuju baharu dunia persuratan tempatan.
Menurut Presiden PEKASA, Dayang Azizah Mohd Salleh, dalam perutusan utamanya, perkembangan sastera di Sarawak kini semakin pesat, namun aspek penyertaan dan pelibatan khalayak perlu terus diperkukuh.

Beliau turut menyingkap kejayaan penganjuran program sebelum ini dengan memaklumkan Pengilan Puisi Sarawakku Sayang berjaya menghimpunkan aktivis seni dan budaya menerusi pengisian berkaitan puisi tradisional dan moden yang merangkumi pelbagai etnik di Sarawak.
Beliau bercadang untuk menyambut baik saranan pelbagai pihak agar pelaksanaannya diperluas ke peringkat yang lebih tinggi dan melibatkan kumpulan sasaran yang lebih luas.
“Selain memberi tumpuan kepada pembangunan bakat ahli merentasi pelbagai genre penulisan bagi melahirkan lebih ramai penulis berkualiber, kebajikan ahli turut menjadi keutamaan dalam perbincangan mesyuarat kali ini, khususnya dari segi pengiktirafan dan pemberian insentif yang sewajarnya.
“Pengiktirafan ini penting bagi memastikan sastera Sarawak terus berkembang tanpa memebelakangkan identiti, bahasa dan budaya tempatan. Penekanan terhadap kearifan tempatan perlu sentiasa dijadikan tunjang utama yang mendasari setiap karya yang dihasilkan oleh penggiat sastera tempatan,” katanya.
Berteraskan tema Sastera Pemersatu Bangsa, mesyuarat agung kali ini mengangkat peranan sastera sebagai medium berkesan yang mampu menyatukan masyarakat berbilang latar belakang dalam semangat saling melengkapi.
Menurut Azizah, ketulusan dalam berkarya dan berpersatuan berasaskan matlamat yang sama merupakan kunci utama keharmonian dalam komuniti penulis.

Mengulas mengenai keperluan persatuan, katanya, sokongan daripada kerajaan, institusi kebudayaan dan pihak swasta amat diperlukan bagi memperkukuh ekosistem sastera di Sarawak, bukan sahaja dari segi dana, malah melalui kerjasama kepakaran serta pelbagai bentuk galakan.
Menyentuh cabaran era digital dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menjadi antara cabaran utama penulis masa kini, PEKASA mengambil pendekatan pragmatik dengan menyarankan agar AI dianggap sebagai alat bantu dalam proses pengkaryaan.
Pendekatan itu bertujuan melahirkan ahli yang celik AI dan berupaya mengoptimumkan penggunaannya secara beretika.
“Antara perancangan dan program baharu PEKASA selepas mesyuarat agung ini ialah memperluas ruang penerbitan, bengkel serta peluang kepada penulis tempatan menerusi bimbingan yang berterusan dan bersasar dengan mengambil kira minat serta bidang penulisan masing-masing.
“Mengenai legasi yang ingin ditinggalkan, PEKASA berharap kepimpinan persatuan yang berwibawa dan komited dapat diteruskan dengan penuh keikhlasan supaya karya ahli PEKASA kekal hidup dan terus dihargai oleh generasi akan datang,” ujarnya.

Malah, beliau menaruh harapan tinggi untuk memperkasakan bahasa dan sastera Sarawak di persada antarabangsa, selain bercita-cita menjadikan Bandar Raya Kuching sebagai “Bandar Raya Puisi” yang berupaya memainkan peranan penting dalam menyatupadukan masyarakat.
Mesyuarat agung itu turut menyaksikan pembentukan Jawatankuasa PEKASA bagi sesi 2026–2028 yang diterajui Dayang Azizah sebagai Presiden, Osman Zaini sebagai Timbalan Presiden, Jais Sahok sebagai Naib Presiden I, Zailah Bujang sebagai Setiausaha Agung, Nora Sahmat sebagai Penolong Setiausaha dan Siti Hajar Ahmad sebagai Bendahari.
Barisan jawatankuasa itu turut diperkukuh dengan pelantikan enam ahli jawatankuasa, iaitu Awang Johari Julaihi, Siti Norashafida Roslan, Muhammad Hafis Berahim, Dalia Kasim, Muhammad Ramadani Suhaimi dan Faizal Jarawi.
Bagi mengiringi perhimpunan yang penuh bermakna itu, sebuah puisi nukilan Jais Sahok bertajuk PEKASA Meniti Usia (20-Dua Puluh Tahun) turut dideklamasikan sebagai dedikasi terhadap perjalanan dua dekad persatuan.
Puisi berkenaan menggambarkan keteguhan PEKASA yang diibaratkan seperti helang terbang menongkat langit impian di puncak cakerawala, namun tetap menyelami dasar kearifan tempatan demi mempertahankan warisan, bahasa dan sastera di bumi Sarawak yang dicintai.




