KUCHING: Sarawak merekodkan RM11.2 bilion pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama 2026, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, prestasi itu menunjukkan kepentingan mewujudkan ekosistem ekonomi kondusif bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, khususnya dalam industri bernilai tinggi.
Sumber tenaga boleh baharu, terutama hidro, selain sumber minyak dan gas, mampu dimanfaatkan untuk membangunkan industri berteknologi tinggi di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, transformasi ekonomi negeri berteraskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), dengan tumpuan mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi berasaskan komoditi melalui pembangunan sektor semikonduktor, pembuatan termaju, tenaga hijau, hidrogen, metanol, kecerdasan buatan, aeroangkasa serta pertanian dan pembuatan makanan.
Beliau turut mendedahkan pertemuannya dengan dua kumpulan pelabur dari Thailand dan Jepun di Bangkok bulan lalu, yang menunjukkan minat melabur sehingga RM1 bilion dalam pengeluaran produk petrokimia, didorong kelebihan Sarawak dari segi tenaga rendah karbon serta sumber minyak dan gas.
Bagaimanapun, katanya, pelaburan perlu turut membuka peluang kepada syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan, logistik, teknologi, pembuatan dan perkhidmatan profesional bagi merancakkan ekonomi domestik, mewujudkan pekerjaan serta meningkatkan pendapatan isi rumah.
Abang Johari berkata, gabungan sumber asli, teknologi, penyelidikan, inovasi dan kepakaran tempatan perlu disokong pembangunan modal insan supaya rakyat memiliki kemahiran untuk memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
Beliau yakin pendekatan itu mampu memperkukuh daya saing Sarawak, memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong aspirasi negeri menjadi lebih maju serta makmur menjelang 2030.


