KUCHING: Hanya 28 peratus pelajar di Sarawak yang mengambil aliran sains tulen pada masa ini, sekali gus menjadi yang kedua terendah di Malaysia, kata Presiden Persatuan STEM Kebangsaan (NSA) Profesor Emeritus Datuk Noraini Idris.
Justeru, beliau berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat untuk membantu meningkatkan lagi minat pelajar Sarawak khususnya bagi subjek biologi, fizik dan kimia itu.
“Sekarang Sarawak telah menumpukan untuk meningkatkan bidang tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan biodiversiti, jadi diharapkan lebih ramai pelajar Sarawak akan membuat inovasi mereka dan meneroka tentang aspek fizik, kimia serta matematik tambahan.

“Sebab kalau hendak pergi ke arah Kecerdasan Buatan (AI), anak-anak ini mesti kuat dalam matematik tambahan, fizik, kimia dan biologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual selepas merasmikan Program Mini Teater STEM Sarawak di SMK Tun Abdul Razak, di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn.



