KUCHING: Pameran Projek Inovasi dan Teknologi (iPROTECH) 2026 menjadi platform penting dalam usaha mengetengahkan bakat, kreativiti dan kemahiran teknikal pelajar Kolej Komuniti Mas Gading.
Pameran yang berlangsung di pusat beli-belah Plaza Merdeka di sini turut memberi peluang kepada pelajar tahun akhir daripada Unit Teknologi Maklumat dan Landskap untuk mempamerkan projek inovasi yang dihasilkan sepanjang pengajian.

Eksekutif Kanan Pemasaran dan Komunikasi merangkap Pengurus Perhubungan Awam Plaza Merdeka, Leovel Sam Avenido, berkata projek yang dipamerkan itu juga merupakan hasil usaha dan kerja keras pelajar berkenaan.
“Saya berasa teruja melihat projek yang dipamerkan, tetapi apabila membentangkan projek, kemahiran komunikasi juga sangat penting kerana kita perlu bercakap untuk memberikan maklumat serta berkongsi idea tentang bagaimana menghasilkan projek tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pembukaan Pameran iPROTECH 2026 di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau berharap kerjasama antara Kolej Komuniti Mas Gading, pihak industri dengan komuniti dapat terus diperkukuh pada masa akan datang sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk memperoleh pendedahan dan pengalaman.
Menurutnya, Plaza Merdeka juga bukan kali pertama menjalinkan kerjasama dengan Kolej Komuniti Mas Gading, malah pernah mengadakan beberapa program bersama-sama sebelum pandemik COVID-19.
“Kami juga berharap lebih banyak kerjasama seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi menyediakan platform kepada pelajar untuk menonjolkan bakat, kreativiti dan inovasi mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading, Estree Ishak memaklumkan, pelajar juga menunjukkan dedikasi, kemahiran teknikal dan kreativiti dalam menghasilkan penyelesaian praktikal sepanjang pengajian.
Menurutnya, pameran ini bukan sahaja mengetengahkan projek pelajar, malah memupuk inovasi dan kreativiti, meningkatkan kemahiran profesional serta mempersiapkan graduan berdaya saing.
“Sokongan Plaza Merdeka turut mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, industri dengan komuniti melalui pendedahan industri, pembelajaran interaktif serta peluang melaksanakan program bersama,” tegasnya.
Terdahulu, sebanyak 17 reruai pameran melibatkan pelajar Sijil Landskap dan Sijil Teknologi Maklumat (STM), yang mengetengahkan projek berkaitan Internet Benda (IoT), laman web termasuk, aplikasi mudah alih kecerdasan buatan (AI) sekali gus menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Kolej Komuniti Mas Gading dengan Plaza Merdeka.




